rap

Harith Zazman 'Cute' dah bertunang ya...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Cute (Stop Lah Being So Cute), Harith Zazman selamat bertunang dengan kekasihnya, Nuramalina Ghakashah dalam satu majlis yang berlangsung di Serendah, Hulu Selangor pada pagi, hari ini.

Harith, 27, berkata, majlis itu dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak yang berada di Selangor dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berlangsung dengan lancar dan dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Kami susun jadual dan minta anggota keluarga datang secara berperingkat untuk mematuhi SOP.

"Bagi ahli keluarga yang berada di Negeri Sembilan, mereka tak dapat hadir kerana masih belum dibenarkan merentas negeri. Namun, kami berkomunikasi menerusi panggilan video Facetime," katanya kepada Harian Metro.

Harith mula mengenali Nuramalina atau Lee, 29, ketika bersama-sama menjalani penggambaran video muzik lagu popular itu tahun lalu.

"Kami mula rapat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Lee juga membintangi video muzik lagu Cute dan single kedua saya iaitu Tak Tahu.

"Pada awalnya, saya dapat rasakan ada keserasian antara kami. Tak sangka pula keserasian itu membawa kami sehingga ke fasa ini," katanya.

Menurut Harith, dia dan Lee merancang untuk melangkah ke alam perkahwinan secepat mungkin.

"Tarikh majlis perkahwinan belum ditetapkan. Tapi, kata orang, lagi cepat, lebih bagus. Insya-Allah, kami akan berkahwin dalam tahun ini sekiranya tiada aral melintang," katanya.

Harith juga kini dalam perancangan untuk menghasilkan single baharu mengenai kisah cinta dalam tahun ini sebagai single ketiganya.

Disiarkan pada: March 13, 2021 @ 9:25pm
d