rap

'Kalau terasa baguslah, memang saya menyindir pun!'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Siapa makan cili, dia rasa pedas!," kata penyanyi Syura Badron, 35, tidak menafikan perkongsian video dibuatnya di Tik Tok yang berbaur sindiran ditujukan kepada golongan insan 'berhati hitam' yang tidak menyenangi kejayaan orang lain.

Menurut Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, perasaan iri hati dan tidak selesa dengan kejayaan orang lain memang wujud dalam diri segelintir manusia, tidak kisahlah mereka itu saudara-mara, kenalan mahupun sahabat.

"Kalau ada yang terasa disindir dengan video saya, memang betul saya menyindir. Ditambah, bentuk sindiran yang saya kongsi dalam video itu memang benda yang berlaku sekarang.

"Tak kisahlah apa kerjaya 'individu yang terasa itu' sama ada ahli perniagaan ke, pekerja biasa ke dan sebagainya, baguslah sebab manusia iri hati atau berhati hitam ini memang harus diberi teguran.

"Saya berkongsi cerita-cerita dalam video dibuat berdasarkan pengalaman dilalui. Bukan saja dari pengalaman sekarang, tapi sejak dari dulu ketika saya masih sekolah, bekerja, berumah tangga dan sekarang dah bergelar janda pun.

"Masih lagi tetap juga berhadapan dengan golongan manusia iri hati serta berhati hitam ini. Paling menyedihkan, depan kita baik tapi di belakang sentiasa memburuk-burukkan dan ada saja yang tak kena di mata mereka," katanya.

Menurut Syura, bagaimanapun dia tidak menyangka perkongsian video dibuatnya di Tik Tok itu tular dan menjadi perhatian kerana ramai orang yang menyaksikannya memiliki sejarah pengalaman sama tetapi tidak disuarakan.

Ditanya apakah dia sebenarnya menyindir 'rakan artis', Syura berkata videonya tiada kaitan dengan individu atau pihak tertentu, namun lebih kepada umum. Ujarnya, terpulang pada penerimaan, pandangan dan penilaian masing-masing.

"Apapun, tujuan saya untuk memberi teguran dan peringatan kepada golongan berkenaan yang suka iri hati. Tapi, kalau dah terasa maksudnya, memang pernah buatlah. Namun, yang pasti saya juga tak bermaksud membuka aib sesiapa.

"Cuba ambil iktibar, apatah lagi kita semua adalah orang dewasa yang patutnya bertindak matang dan jika melihat seseorang itu berjaya, terus doakan dia dan jadikan motivasi diri. Bukannya iri hati atau ada perasaan mahu menjatuhkan," katanya lagi.

Syura yang semakin ligat berniaga produk kosmetik ketika ini berkata pembabitan dalam bisnes sebagai alternatif mencari cabang pendapatan lain. Katanya, dia sedar peluang dirinya untuk kembali bersinar dalam kerjaya seni seakan malap dan pudar.

Disiarkan pada: March 16, 2021 @ 8:20pm
d