rap

Aiman Tino dah okay dengan mak, ayah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Isu salah faham dengan keluarga sudah selesai dan mereka juga jelas," kata penyanyi, Aiman Tino mengenai kontroversi yang timbul membabitkan dia dan ibu bapanya, bulan lalu.

Aiman, 23, atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri berkata, dia sudah berjanji dengan menurut segala permintaan ibu bapanya.

"Ada perkara yang mereka mahu daripada saya seperti nak saya duduk seorang dan apa sahaja isu yang dirasakan negatif, saya kena tolak tepi dan lupakan. Saya mengiyakan dan ikut cakap mereka.

"Saya tunaikan permintaan mereka dan dalam masa sama saya minta mereka juga faham kehidupan saya," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai kehadiran wanita yang didakwa sebagai kekasih yang dikenali sebagai Farah sehingga membuatkan Aiman berubah, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu mengakui mereka sudah tidak ada apa-apa hubungan.

"Dengan kekasih sudah tidak ada. Saya dengar cakap mak. Sekarang ini semua perkara saya buat sendiri. Saya uruskan kerja, perniagaan dan rutin harian sendiri. Semua saya buat sendiri. Itu yang mereka nak," katanya.

Menurut Aiman, apa yang terjadi membuatkan dirinya bangkit dan lebih bersemangat terutama dalam menguruskan perniagaan kedai makan char kuey teow di Wangsa Maju dan terbaharu di Kampung Baru, di sini.

"Perkara ini sudah lebih sebulan. Saya berasa ia tak memberi kesan apa-apa. Malah, dengan adanya isu ini ia memberi semangat kepada saya. Pada mulanya memang rasa 'down', tapi di sebaliknya selepas seminggu, semangat datang.

"Ada hikmah di sebalik apa yang terjadi kerana ia membuatkan saya nak lebih berjuang. Apa saya boleh cakap, keluarga saya mungkin tak nampak apa saya buat di luar dan saya pun kurang berkongsi dengan mereka. Saya memang bekerja keras untuk keluarga," katanya.

Terdahulu, isu mulai panas apabila ibu Aiman iaitu Hazelina Mat Jalil menerusi Instagram meluahkan rasa terkilan dengan sikap anaknya yang dikatakan mula berubah selepas mengenali seorang wanita bernama Farah.

Malah, ketika itu Aiman dikatakan sering gagal dihubungi syarikat rakaman dan syarikat produksi. Bagaimanapun, Aiman tampil membuat kenyataan permohonan maaf atas salah faham yang timbul.

Dalam perkembangan lain, Aiman terbabit dalam penggambaran drama Kampung Kolestrol lakonan bersama Sufian Suhaimi, Ziana Zain dan Mas Idayu.

Disiarkan pada: March 17, 2021 @ 3:56pm
d