rap

Kuliah duha rai hari jadi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

ROZITA Che Wan antara selebriti yang tidak pernah gagal mengadakan sambutan hari kelahiran setiap tahun.

Berbeza tahun ini, pelakon yang mesra disapa Che Ta itu meraikan hari jadi ke-48 dengan mengadakan majlis kesyukuran berbentuk kuliah duha di premis acara Aman House di ibu kota dengan mengundang pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat, baru-baru ini.

Majlis ilmu itu turut dikongsikan Che Ta yang juga isteri kepada pelakon, Zain Saidin di Instagram.

"Perancangan awal nak jemput Ustaz Syamsul pada sebelah malam, tapi kerana jadualnya padat, sempat sebelah pagi saja dan petang pula dia ada kerja di Ipoh, Perak.

"Kami mula kenal rapat pun sewaktu dia muncul sebagai penampilan istimewa menerusi drama Janda Kosmopolitan. Malah, dia juga pernah menjemput saya dalam siri perkongsian ilmu yang dianjurkannya.

"Sebenarnya saya selalu juga adakan majlis ilmu sebegini. Malah pernah juga anjurkan majlis keraian atau ulang tahun kelahiran dengan menjamu anak yatim. Jadi, ia bukan perkara baharu pun saya mengundang pendakwah untuk menyampaikan tazkirah atau ceramah," katanya.

Che Ta yang juga ibu kepada tiga cahaya mata itu mengakui menyenangi cara Syamsul berkongsi ilmu dan nasihat.

"Ada usikan dan lawaknya memang betul-betul kena tepat kepada batang hidung sendiri. Ia jadi teguran bermakna dan cerminan untuk diri sendiri.

"Macam tempoh hari, saya ajak keluarga dan teman rapat untuk bersama-sama mendengar kuliah disampaikan. Memang tak puas mendengar kuliah itu sebab dia perlu bergegas ke tempat lain. Tidak mengapa, ada rezeki lain, boleh ajak dia lagi," katanya.

Selain majlis ilmu itu, Che Ta yang juga ahli perniagaan turut mengadakan majlis sambutan hari jadi dengan bertemakan hitam putih. Tetamu lelaki diwajibkan memakai sut manakala perempuan pula dengan busana gaun.

"Setiap tahun saya mahu kongsi detik gembira ini dengan orang rapat dan tersayang. Ini juga cara saya berkongsi rezeki.

"Walaupun menyambut peningkatan usia kali ini ketika pandemik Covid-19 belum surut, saya tetap bersyukur. Mujur dilaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), cuma tetamu diundang tak boleh terlalu ramai," katanya.

Dalam keseronokan mengadakan majlis itu, Che Ta tak lepas daripada perhatian dan usikan nakal apabila suaminya tidak dapat hadir.

"Memang kawan saya pun pelik kenapa suami tak ada. Sampai ada yang ingat kami ada apa-apa ke? Zain sebenarnya terbabit penggambaran drama untuk Awesome TV. Memang tak boleh nak buat apa.

"Tapi kalau ada yang perasan, dia ada muat naik video di laman Instagram mengucapkan selamat hari lahir di samping pelakon, Azhan Rani. Malah, pada sambutan ulang tahun perkahwinan adik saya (Jaja) dan meraikan ulang tahun kelahiran saya juga, Zain dapat hadir," kata duta produk penjagaan kulit dan kecantikan Mylea itu.

Menghampiri usia 50 tahun, Che Ta hanya mengharapkan terus diberi kudrat dan dimurahkan rezeki.

"Saya juga berharap hasrat berpindah ke kediaman baharu menjadi kenyataan tahun ini. Kalau tak ada aral, saya pindah sebelum Aidilfitri nanti. Harapnya dapatlah beraya di rumah baharu.

"Sebenarnya, sejak tahun lalu apabila penularan Covid-19 bermula, saya bertukar kontraktor kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali. Ada yang menipu, jadi itulah punca urusan pindah tertangguh," katanya

Dalam perkembangan lain, Che Ta juga terus sibuk memenuhi undangan berlakon.

Dia baharu selesai menjalani penggambaran drama Dia Isteriku berganding dengan Hafidz Roshdi untuk TV Alhijrah.

"Insya-Allah hujung bulan ini saya akan ke Perlis untuk menjalani penggambaran drama 13 episod, Ayahanda terbitan Zeel Production.

"Drama itu arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar. Ia turut dibintangi Fauziah Ahmad Daud dan Shahrolnizam Nor.

"Nampak gayanya saya akan menyambut Ramadan di sana kerana penggambaran drama itu sepenuhnya dilakukan di sana," katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2021 @ 6:20am
d