rap

Alyah bekerjasama dengan PU Riz

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Datin Alyah bakal bekerjasama dengan pendakwah bebas, PU Riz menerusi lagu Thank You Allah.

Alyah berkata, pembabitan Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail adalah sebagai pelakon yang bermonolog dalam bahasa Melayu dan Arab.

"Saya tahu Riz menerusi kerjaya sebagai pelakon, pendakwah bebas dan cerita yang dipaparkan saja. Malah dalam filem Ada Apa Dengan Dosa, dia berlakon dan saya menyanyikan lagu tema filem itu. Tapi tidak tahu kemampuan lain yang dimiliki.

"Ketika proses masukkan vokal tak sangka kemampuan dia besar dan bermonolog dengan baik. Apabila dia datang dan dengar suara, saya berasa dia boleh menyanyi dengan baik juga. Namun, tak boleh nak teroka banyak perkara sebab tahu dia sebagai pendakwah saja. Apabila sudah kenal, banyak perkara dalam diri dia nak buat, cuma mungkin kena beri waktu dulu," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Meluruh itu menyifatkan pemilihan Riz adalah tepat dari segi suara dimiliki dengan disesuaikan dalam lagu ciptaan bersama Omar K dan lirik oleh Ikhwan Fatanna itu.

"Diakui nak dapatkan Riz memang susah, cuma lagu ini perlukan dia. Nak cari pendakwah yang memiliki suara 'jantan' memang susah. Kebanyakan yang ada di Indonesia, tapi di Malaysia sangat terhad. Apabila dengar suara dia, itulah yang lagu ini perlukan.

"Kami bukan main ambil saja, tapi kita tengok lakonan dia dan macam mana dia lontarkan dialog. Bagi monolog, dia berikan input dengan ayat sendiri. Monolog idea dia sendiri dalam bahasa Melayu dan Arab.

"Dalam erti kata lain, suara Riz ini sangat terhad. Bukan cakap sebab nak 'trending', tapi kalau tanya saya lima tahun lalu dan lima tahun akan datang, itulah jawapan saya. Apabila dia masukkan vokal dan dengar, baru nampak kelebihan dan kemampuan dia. Mungkin selama ini orang hanya bercakap soal peribadi saja. Bakat dia banyak lagi boleh terokai. Dia ada karakter suara seperti pelakon hebat lain, cuma bezanya dia pendakwah," katanya.

Menurut Alyah, lagu itu bakal dilancarkan sebelum sambutan Ramadan ini.

Disiarkan pada: March 31, 2021 @ 4:24pm
d