rap

'Saya tak ada masa jaja cerita, pengaruh orang lain!'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi, Linda Eva berasa kesal dan terkilan apabila dirinya dikaitkan sebagai 'kaki penyampai' cerita yang mempengaruhi orang lain hingga enggan bekerjasama dengan pihak yang berkenaan, baru-baru ini.

Terdahulu, Linda, 44, membuat perkongsian luahannya di Facebook berkaitan cerita yang tercetus itu. Ujarnya sebagai isteri dan ibu, dia sangat mengutamakan aura positif dalam keluarganya serta tiada masa nak bercerita tentang orang lain.

Kata pemlik nama sebenar Norhaslinda Ishak ini, dia sememangnya tidak pernah terbabit dengan perihal 'sampai-menyampai' cerita berkaitan orang lain serta bertujuan mempengaruhi sesiapa.

"Saya memang tak tahu apa-apa langsung dengan cerita yang mereka kaitkan itu. Apa lagi, didakwa cuba mempengaruhi orang lain supaya tidak bekerjasama dengan satu lagi pihak berkenaan.

"Siapa saya, nak pengaruh orang lain? Sejak saya berkahwin tahun lalu, banyak masa ditumpukan pada suami, anak-anak dan keluarga sahaja. Malah, saya dan suami, Mohd Fairuz Ibrahim juga lebih fokus mencari rezeki untuk keluarga kami.

"Ditambah, tahun lalu pandemik Covid-19 dah menular serta banyak acara persembahan nyanyian dibatalkan. Saya dan suami, kami ambil positif dan cuba cabang sumber pendapatan lain seperti berniaga.

"Jadi, saya memang tak ada masa nak ambil tahu cerita orang lain, apa lagi cuba mempengaruhi sesiapa. Saya sangat sibuk berniaga dengan menerima tempahan makanan untuk mencari rezeki buat keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, selepas mengetahui namanya dipetik seseorang di media sosial dan terjadinya perselisihan faham dengan pihak berkenaan, dia terkejut akibat dakwaan sudah mempengaruhi orang lain supaya tidak bekerjasama untuk satu program hiburan.

Bagi mencari kepastian dan perlu membersihkan nama baiknya yang tercemar, Linda bertindak menghubungi beberapa individu yang memetik namanya untuk mengetahui cerita sebenar.

"Saya hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan kerana sudah membabitkan nama saya. Tapi, lain pula berlaku dan masing-masing tidak mengaku.

"Jadi, macam mana cerita itu timbul kalau tak ada yang bercakap? Hingga salah seorangnya, membuat laporan polis terhadap saya. Pada hal, saya bertanya untuk penjelasan dan kepastian," katanya.

Linda berkata dia bertindak kerana berada di pihak yang benar. Malah, ujarnya dia dan suami berharap tidak lagi dikaitkan dengan cerita-cerita tak betul dan berunsur fitnah sebegitu.

Menurut penyanyi lagu Bulan Cinta itu, sepanjang dia aktif dalam kerjaya nyanyian pada 1990-an bersama kumpulan Eva, fokusnya memang pada kerja dan tak ambil tahu cerita orang lain.

"Pada yang suka bercerita itu, harus hati-hati. Di dunia, mungkinlah terlepas tapi, di sana (akhirat) nanti tak tahu lagi. Apapun, saya ambil iktibar dengan apa yang berlaku ini," katanya.

Linda yang kini sudah menetap di luar ibu kota bersama keluarga berkata yang pasti anak-anaknya, Muhammad Haziq, 21, Afrina, 17, Syuhadah, 16, dan Aliya, 11, kini lebih gembira.

Disiarkan pada: April 2, 2021 @ 5:36pm
d