rap

Melodi si cilik untuk peminat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MUZIK diakui mampu menjadi terapi untuk ramai orang. Bagi penyanyi kanak-kanak dikenali sebagai Kowachee, kerjayanya dalam industri hiburan bermula dengan muzik dan seni yang banyak mengubah kehidupannya.

Lahir sebagai kanak-kanak disleksia yang menerima pembelajaran dengan kadar perlahan, Kowachee atau nama sebenarnya Putri Armani Dzarizzi, 12, menggunakan muzik untuk membantu dirinya mendapatkan rentak dalam kehidupan harian dan pembelajaran.

"Dulu saya ada disleksia dan sawan. Ketika berumur tujuh tahun, ibu menghantar saya menyertai kelas muzik. Dari situ, saya mula memahami dan mendalami seni.

"Pada peringkat awal, tak dinafikan saya memang susah nak faham juga. Tapi lama- kelamaan saya boleh 'tangkap' juga apa yang dipelajari itu.

"Dari situ, saya memulakan karier dalam bidang gimnastik. Ada rutin gerakan yang menggunakan muzik dan sedikit sebanyak, ia banyak membantu saya," katanya.

Terbaharu, Kowachee hadir dengan single istimewa nyanyiannya berjudul Paptapom. Ujarnya, dia gembira mendapat peluang merakam lagu sendiri.

"Untuk lagu Paptapom ini, saya menyampaikannya dalam bentuk rap dan sejujurnya, genre ini (rap) lebih susah daripada menyanyi.

"Tapi saya sukakan lagu ini kerana ia kena dengan jiwa saya daripada segi konsep muzik, rentak dan melodinya. Ia karya yang amat menarik," katanya.

Ditanya sama ada pernah timbul rasa penat untuk membahagikan waktu antara pelajaran, kehidupan sebagai kanak-kanak dan karier, Kowachee menganggap semuanya boleh disusun dengan baik.

"Tak pernah menjadi masalah, sebab pelajaran tetap menjadi keutamaan saya. Apabila semuanya dah disiapkan, baru saya terus membuat kerja lain pula.

"Bagi saya, tak ada istilah penat andai kita dapat menguruskan jadual dengan baik. Saya yakin dengan perancangan teliti yang sudah diatur," katanya.

Apa-apa pun, Kowachee mengharapkan supaya kehadirannya dalam industri hiburan dapat memeriahkan dan mewarnai dunia seni tanah air.

Meski masih kecil, Kowachee memiliki semangat juang yang tinggi. Kecekalan dalam dirinya membuatkan dia tekad mahu terus berusaha dan tidak kenal putus asa.

Melihat besarnya impian ingin dicapai untuk terus berjaya dalam kehidupan seperti orang lain, semestinya Kowachee juga sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal untuk dia bertahan menghadapi apa saja saingan.

Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 6:10am
d