rap

Chadwick Boseman menang Pelakon Lelaki Terbaik

Oleh Agensi

Los Angeles: Filem terbitan Netflix, The Trial Of The Chicago 7 diangkat sebagai Filem Terbaik menerusi Anugerah Screen Actor Guild 2021 (SAG Awards 2021) yang berlangsung hari ini.

Filem arahan Aaron Sorkin yang mengangkat kisah perbicaraan anti keganasan kaum itu juga diramal berpotensi besar untuk meraih kejayaan dalam kategori sama untuk Anugerah Academy atau Oscars yang bakal berlangsung pada 25 April ini.

Filem Ma Rainey's Black Bottom turut unggul apabila membawa pulang kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik menerusi mendiang Chadwick Boseman dan Viola Davis.

Boseman meninggal dunia pada Ogos tahun lalu selepas beberapa tahun menderita kanser usus.

Lebih mengujakan, pelakon Korea Selatan, Youn Yuh-jung turut mencipta kejutan apabila berjaya memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Minari.

Tahun lalu, filem Korea Selatan, Parasite turut memenangi beberapa trofi utama SAG Awards 2020 sebelum mereka mencipta sejarah mengungguli Filem Terbaik Oscars 2020.

Kejayaan filem The Queen's Gambit turut melakar sejarah apabila pelakon utamanya, Anya Taylor-Joy memenangi kategori pelakon wanita telefilem dan drama bersiri.

Joy sebelum itu turut memenangi Persembahan Terbaik kategori Pelakon Wanita dalam telefilem pada anugerah Golden Globe 2021.

SAG Awards 2021 diadakan secara virtual disebabkan pandemik Covid-19. Masa tayangannya turut disingkatkan selama satu jam sahaja berbanding dua jam kebiasaannya.

Antara penyampai trofi yang diundang untuk majlis itu ialah pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Henry Golding.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 5:34pm
d