rap

Elly Mazlein hamil anak kedua 

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, penyanyi dan pengacara, Elly Mazlein berkongsi berita gembira yang kini hamil anak kedua.

Elly dalam hantaran di Instargram mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya.

"Syukur alhamdulillah. Insya Allah, tak lama lagi akan hadir nyawa kecil dalam keluarga kami. Atuk akan dapat cucu lagi, papa akan dapat seorang lagi anak manja dan kakak manja akan dapat adik.

"Dan mama tak sabar nak menjaga kesemua nyawa suri hati ini. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

"Terima kasih di atas doa, wahai kesayangan semua. Terima kasih sentiasa bersama saya dari saat getir hingga saat pelangi kebahagian datang menerpa. Doa saya agar Allah permudahkn urusan anda semua," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Elly juga berkongsi mengenai anak sulungnya, Putri Sara Sefhia yang mengimpikan adik perempuan.

"Tapi, kakak Manja (Sefhia) minta 'sister'. Mana-mana pun tak apa. Hanya mendoakan bayi sihat dan dipermudahkan," tulisnya.

Elly sebelum ini berteka teki mengenai kehamilannya dan berjanji untuk berkongsi mengenai perkara itu apabila dia sudah bersedia.

Ini adalah cahaya mata pertama hasil perkahwinan kedua dengan pasangan, Muhammad Azlan Che Nuh manakala Sefhia adalah cahaya mata dari perkahwinan pertamanya dengan bekas suami, Azmi Hatta.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 11:31pm
d