rap

Muizz doakan kebahagiaan Nadia Brian

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Lafaz cerai dilakukan malam Jumaat lalu di kawasan perumahan di Puchong dan bersaksikan wakil daripada dua pihak," kata bekas suami kepada pelakon Nadia Brian, 31, iaitu Muizz Nasruddin, 30, yang mengakui sudah melafazkan cerai di luar mahkamah.

Muizz berkata, selepas memfailkan perceraian terhadap pelakon terbabit pada Oktober tahun lalu, kini mereka berpisah secara sah.

"Disebabkan mahkamah lambat menetapkan tarikh perbicaraan, saya membuat keputusan untuk melafazkan cerai di luar mahkamah. Dengan cara ini kami dapat 'move on' dengan kehidupan kami," katanya.

Terdahulu Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengesahkan dia dan Muizz sah bercerai talak satu, Jumaat lalu.

Menurut pelakon itu, perceraian terbabit dilakukan di luar mahkamah seperti yang diminta Muizz. Sebelum ini, Muizz turut memuat naik status di Instagram seakan-akan memberi bayangan mengenai status rumah tangga mereka dengan mengatakan dia ingin memulakan kehidupan baharu.

Muizz berharap tiada pihak cuba mengaitkan dirinya dengan Nadia serta mendoakan supaya bekas isterinya bertemu kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"Selepas ini saya harap jangan kaitkan saya bersama dia lagi. Saya doakan yang terbaik buat Nadia dan semoga dia dapat kebahagiaan yang dicarinya," katanya.

Terdahulu, isu pergolakan rumah tangga pasangan ini hangat diperkatakan sejak Oktober lalu dan lebih mencetuskan tanda tanya apabila Muizz turut mendakwa Nadia curang terhadapnya.

Bagaimanapun pelakon drama Titian Takdir itu menafikan semua tuduhan terhadapnya sebelum ini, malah menyifatkan ia sebagai fitnah semata-mata.

Nadia mendirikan rumah tangga dengan Muizz pada 9 November 2019 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 2:09pm
d