rap

Elly Mazlein nak kongsi tips kehamilan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Anak sulung Elly Mazlein, Putri Sara Sefhia adalah insan paling gembira apabila ibunya kini hamil tiga bulan.

Elly berkata, Sefhia sangat teruja untuk mendapat adik dan dia mengharapkan memperoleh adik perempuan.

"Sefhia juga sudah merancang untuk berkongsi bilik dengan adiknya dan nak buat katil dua tingkat. Selain Sefhia, tentunya saya sendiri, suami dan abah juga sangat gembira dengan rezeki ini," katanya.

Pelakon, penyanyi dan pengacara itu juga mahu berkongsi mengenai kehamilan dengan pengikutnya terutama mereka yang masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata.

Menurut Elly, dia berharap perkongsiannya itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang sedang berusaha mendapatkan anak.

"Anak adalah rezeki Allah dan kita sebagai hamba-Nya juga perlu berusaha. Kalau tak berjaya dengan cara begini, mungkin boleh cuba cara begitu.

"Yang pasti, dalam masa terdekat, saya akan berkongsi dengan mereka yang sedang berusaha mendapatkan anak beberapa tips dan nutrisi yang saya ambil. Selain itu, mungkin juga ada beberapa teknik seperti pengiraan tempoh kesuburan yang betul juga dapat membantu mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menjelang Ramadan, Elly juga akan memperlahankan kerja-kerja lakonan kerana ingin banyakkan berehat bersama keluarga.

"Ini adalah kehamilan pertama saya dalam bulan Ramadan. Jadi, saya akan banyak habiskan masa di rumah bersama keluarga, masak untuk mereka dan berbuka bersama selain membanyakkan ibadat.

"Saya nak ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan saya," katanya.

Ini adalah cahaya mata pertama hasil perkahwinan kedua dengan pasangan, Muhammad Azlan Che Nuh, manakala Sefhia adalah anak hasil perkahwinan pertamanya dengan bekas suami, Azmi Hatta.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 5:32pm
d