rap

Kepercayaan ibu bapa, kekuatan Ziana

Oleh Wartawan Harian Metro

Kuala Lumpur: Reda dan yakin dengan kepercayaan ibu bapa, menjadi kekuatan utama penyanyi dan pelakon Ziana Zain, 53, pada ketika dirinya dihambat gosip berhubung dakwaan skandal dengan seorang individu kenamaaan.

Menurut Ziana, meskipun terkejut dengan gosip yang muncul tiba-tiba itu, dia tidak cepat melatah dan menganggap ia dugaan harus dihadapi pada saat namanya berada di puncak populariti.

"Ketika itu (munculnya gosip) memang saya tengah 'top' berlakon dan orang gosipkan pula dengan benda-benda yang tak pernah kita buat dan tak pernah terfikir juga akan keluar.

"Saya terkejut, tapi terimanya dengan reda. Selagi saya tahu, saya siapa dan ibu bapa saya tahu saya siapa, biarkan saja," katanya ketika mengimbau kenangan perjalanan selama 30 tahun sebagai anak seni.

Ziana yang sangat popular dengan lagu Madah Berhelah dan Puncak Kasih mula menceburi kerjaya nyanyian pada 1991 dan sangat diminati peminatnya dengan lagu-lagu bergenre balada.

Berkongsi lagi kenangan lamanya, Ziana yang sebelum itu bertugas sebagai pramugari, turut mendedahkan pada awal kemunculan di arena seni suara, dia hanya mampu membeli empat pasang pakaian dengan sumber kewangan yang ada sebanyak RM800.

Katanya pakaian itu yang masih disimpan rapi, takkan sesekali dijualnya berikutan ada memori indah untuk terus diingati di sebaliknya yang membawa pada kejayaan diperolehnya kini.

Terdahulu, Ziana berkongsikan kisah terpendam itu menerusi temubual khas bersama Stars@Awani, baru-baru ini dengannya yang pernah membintangi filem Sembilu dan Maria Mariana serta cukup terkenal dengan watak antagonis.

Sementara itu, individu kenamaan yang pernah dikaitkan dengan Ziana ialah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkongsi catitannya di Facebook.

Pada perkongsian itu, Najib lega akhirnya dakwaan skandal membabitkannya dan Ziana terjawab selepas 30 tahun perkara itu pernah diperkatakan dan menjadi bualan hangat.

"Satu lagi tohmahan jahat terhadap saya terjawab," tulisnya.

Justeru, beliau turut menyertakan pautan artikel melaporkan Ziana akhirnya menjawab mengenai dakwaan skandal yang pernah muncul itu.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 7:27pm
d