rap

Syatilla Melvin keguguran kali ketiga

Oleh Najiy Jefri

Petaling Jaya: Hasrat pelakon Syatilla Melvin untuk menimang cahaya mata ketiga tidak tercapai apabila mengalami keguguran ketika kandungan berusia lapan minggu, semalam.

Syatilla atau nama sebenarnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin berkata, dia mengetahui perkara itu ketika membuat pemeriksaan degupan jantung di sebuah klinik.

"Sebenarnya saya baru tahu hamil tapi tak ada rezeki untuk anak ketiga. Ikutkan kandungan saya sudah mencecah lapan minggu tapi semalam, doktor sahkan yang kandungan saya terbantut.

"Jika diikutkan semalam, saya dan suami, Shaheizy Sam nak tengok degupan jantung anak kami, tapi tak ada dan doktor pun kata saiz tak membesar mengikut perkembangan kandungan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran LB Creuset X Syatillah Melvin Nasi Daging Telentang, di sini, hari ini.

Menurut Syatilla, dia sedih kerana mereka sudah bersedia untuk menimang anak ketiga dan menganggap ia bukan rezeki lagi.

"Saya reda. Tak ada rezeki untuk saya dan Sam. Apabila doktor beritahu semalam, Sam terdiam sekejap, tapi dia terima dengan hati terbuka. Syeriv pun dah teruja dan selalu cium perut saya.

"Sebenarnya, ini kali ketiga saya keguguran. Kali pertama, sebelum Syeriv dan kedua sebelum Sarima. Buat masa sekarang, saya harap janin akan gugur sendiri. Kalau tidak saya perlu lalui proses mencuci rahim," katanya.

Syatilla mendirikan rumah tangga dengan pelakon Shaheizy Sam pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy yang kini berusia setahun.

Disiarkan pada: April 7, 2021 @ 6:02pm
d