rap

A Aida bida nombor pendaftaran bernilai RM44,444 untuk anak

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penerbit Datuk A Aida berjaya membida nombor pendaftaran kenderaan ALY554 (ALYSSA) yang dianggarkan bernilai RM44,444, semalam.

Aida berkata, bidaan itu adalah hadiah buat anak sulungnya Wan Az Aleesa, 25, yang menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Dietetik dengan kepujian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

"Saya sudah tunggu nombor itu sejak tiga bulan lalu dan memang sudah niat untuk hadiahkan kepada Aleesa selepas konvokesyen tempoh hari. Sebelum ini saya pernah kalah bidaan nombor pendaftaran ALL154 juga nak dihadiahkan kepadanya.

"Jam 10 malam tadi saya sudah mula duduk depan komputer. Apabila mula saja bidaan, saya terus masuk. Alhamdulillah, niat ini dipermudahkan. Malah, ketika itu Aleesa yang ada bersama turut teruja," katanya kepada Harian Metro.

Aida yang ditemui pada majlis doa selamat A Aida Productions sempena Ramadan di sini, berkata, dia 'pejam mata' dengan jumlah bidaan itu kerana baginya nilai dan kasih sayang itu penting.

"Walaupun jumlah besar, tapi saya puas hati. Bagi saya ini memberikan nilai dan kenangan tersendiri di mana akan kekal sampai bila-bila.

"Dalam masa sama, saya hadiahkan nombor ini kerana Aleesa bersetuju untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) selepas ini. Kalau ikutkan dia nak terus bekerja, tapi selepas dipujuk dia okay," katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 4:22pm
d