rap

Fattah Amin bangkit dan belajar dengan cepat

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pernah melalui fasa sebagai pelakon baru dan turut dilabel dengan gelaran tertentu, Fattah Amin, 31, mengaku dia nekad untuk bangkit belajar dengan cepat memperbaiki kelemahan dirinya.

Fattah ketika ditemui berkata, sebagai individu yang pernah melalui fasa itu, dia turut menyokong kata-kata pelakon senior yang menyarankan supaya bakat baru menyertai kelas lakonan untuk lebih banyak belajar.

"Saya menyokong kata-kata pelakon senior mengatakan pelakon baru perlu ambil inisiatif ke kelas lakonan untuk lebih banyak belajar dan kalau boleh, belajarlah dengan cepat.

"Saya setuju dengan apa yang disarankan (pelakon senior) sebab itu yang saya buat. Mungkin sebelum ini pun nak kata saya betul-betul ke kelas berlakon tidak juga, tapi apa yang saya buat, saya cepat belajar. "Ketika di lokasi, saya bertanya dengan pelakon lain. Ini kerana, bagi saya belajar berlakon tak semestinya pergi ke kelas saja, tapi kita juga boleh belajar dengan bertanya. Selain itu, boleh belajar juga daripada pemerhatian," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fattah, kita tidak perlu melihat negatif dengan teguran diberikan pelakon senior. Sebaliknya, jadikan ia sebagai pemangkin usaha untuk membuat perubahan dan kena ada inisiatif diri sendiri.

"Senang cakap, kalau tak ada usaha tak ada kejayaan. Kalau tak ada usaha belajar berlakon, macam mana nak berjaya dalam lakonan. Itulah yang saya pegang selama ini.

"Jadi, saya sarankan kepada pelakon baru, tengok cara pelakon lama berlakon. Macam mana mereka lontarkan dialog, macam mana mereka buat latihan, macam mana mereka membawa sesuatu perwatakan itu dan sikap mereka di lokasi," katanya lagi.

Menurut pelakon filem Mat Kilau dan Mimaland ini, dia juga berasakan pelakon baru kena banyak memerhati, belajar, melihat dan mungkin boleh belajar dari situ.

Ditanya mengenai kejayaan filem Mimaland memenangi dua trofi Filem Seram Terbaik dan Pengarah Terbaik, Nevin Hiong di AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada, baru-baru ini, Fattah mengakui dia terkejut.

Bagaimanapun, itu adalah rezeki produksi dan semua pasukan kerja yang terbabit dalam filem itu.

Kejayaan besar Mimaland itu turut berupaya menewaskan empat calon lain iaitu filem Dead Destination dan Faith dari United Kingdom, Edwin (Kanada) dan Thousand of Years (Amerika Syarikat).

Mimaland yang ditayangkan pawagam tanah air pada 20 September tahun lalu juga pernah dicalonkan di beberapa festival filem antarabangsa lain iaitu Portland Horor Film Festival, Brussels Independent Film Festivsl dan Europe Film Festival.

Selain Fattah, Mimaland dibintangi Sophia Albarakbha, Zandra Ridhuwan, Camelia Natasya, Hazzy Alzeeq, Zalif Sidek dan dua pelakon Korea Selatan, Chelsea Esdher Wang dan Cindy Dahyun Ohn.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 5:18pm
d