rap

Hapus cetak rompak digital

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Perkhidmatan penstriman antarabangsa, iQiyi International melancarkan kempen anti cetak rompak sulung dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), hari ini.

Kempen menggunakan tanda pagar #JanganTontonHaram itu bertujuan mendorong pengguna-pengguna awam terbabit dalam usaha menangani kecurian kandungan dan cetak rompak digital.

Selain itu, ia adalah usaha bersepadu dalam membendung dan mencegah ancaman terbesar terhadap industri hiburan yang kini pesat berkembang di Malaysia.

Pengurus iQiyi International Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, kempen itu juga pendekatan peringkat akar umbi dalam memerangi kegiatan kecurian kandungan dan cetak rompak digital. "Kempen ini dilaksanakan secara digital dengan berteraskan beberapa inisiatif.  Kami menggalakkan penonton untuk terbabit secara proaktif dengan memerangi dan mematahkan kegiatan jenayah ini.

"Kami berharap langkah ini dapat melumpuhkan aktiviti cetak rompak apabila permintaannya berkurangan. Penggunaan digital secara berhemah adalah satu amalan yang mampu mengubah landskap industri hiburan.

"Inilah yang kami maksudkan dengan kuasa klik pengguna. Apabila semua pihak berganding bahu, nescaya kita dapat melindungi tenaga kerja, hak cipta dan harta intelek industri ini," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Finas, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pihaknya memang menyokong penuh kempen itu.

"Finas sudah melaksanakan banyak kempen kesedaran terhadap cetak rompak sebelum ini. Tetapi, tidak ada kempen memberi insentif kepada mereka yang boleh melaporkan kegiatan cetak rompak. "#JanganTontonHaram meletakkan pengguna di barisan hadapan sebagai pusat anti cetak rompak dan ini tentunya satu perkara yang sangat dialu-alukan dan disokong Finas," katanya.

Perbuatan mencuri atau menciplak kandungan dan cetak rompak digital mendatangkan kesan kepada banyak pihak iaitu dari syarikat-syarikat produksi, syarikat kreatif dan teknologi baharu, artis, syarikat penyedia perkhidmatan sehinggalah ke kru produksi.

Kerugian dari kegiatan jenayah ini dianggarkan mencecah RM3 bilion dan kerajaan turut mengalami kerugian hasil cukai sehingga RM157 juta setiap tahun.

Perkembangan industri hiburan dan pelancaran filem juga mengalami impak yang amat teruk susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19. 

Kempen #JanganTontonHaram iQiyi – Finas ini dilancarkan secara rasmi pada hari pertama CONNECTASIA 2021.

Acara berlangsung di Kuala Lumpur itu dihadiri peserta industri Filem dan TV Malaysia termasuk pencipta audio visual dan kandungan profesional, syarikat penyiaran dan pihak kawal selia. 

Maklumat lanjut mengenai kempen ini, boleh layari laman web www.jangantontonharam.com.

Disiarkan pada: April 9, 2021 @ 6:01pm
d