rap

Heart juara Muzikal Lawak Superstar 2

Oleh Georgie Joseph

Putrajaya: Kumpulan Heart menepati ramalan apabila diumumkan juara program Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam tadi.

Kumpulan dianggotai Danial, Ezad Lazim dan Azmi Saat itu sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 serta trofi.

Heart berjaya memberikan persembahan mantap dalam dua pusingan di pentas akhir itu. Pusingan pertama bertemakan negara-negara Asia, manakala pusingan kedua tema bebas.

Juri, Zul Ariffin nyata sangat terhibur untuk aksi pusingan kedua mereka dan memberikan lima bintang buat Heart.

Anggotnya, Danial juga turut menerima gelaran Superstar musim ini.

Tempat kedua menjadi milik kumpulan U.N.I yang membawa pulang wang tunai RM75,000, manakala kumpulan Viral muncul tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000.

Janggo pula terpaksa akur di tempat keempat dengan menerima wang tunai RM25,000.

Pada program itu, sumbangan berbentuk wang tunai berjumlah RM10,000 turut didermakan kepada badan kebajikan yang dipilih iaitu Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah di Semenyih, Selangor.

Semua finalis MLS2 diadili 50 peratus juri tetap iaitu Datuk Awie, Zul dan Nur Fazura, manakala 50 peratus lagi adalah daripada undian penonton.

Pentas akhir yang dihoskan Nabil Ahmad dan Elly Mazlein itu juga turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, Datuk M Nasir, Akim & The Majistreet, Azlan The Typewriter dan Bunkface.

Disiarkan pada: April 10, 2021 @ 9:09am
d