rap

Segerakan sistem gred syarikat produksi, pelakon

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengarah dan pelakon Isma Yusoof menyambut baik usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang akan membuat pengkelasan syarikat produksi dan pelakon mengikut pengalaman, kepakaran serta gred bagi memberi peluang sama rata kepada semua penggerak industri. 

Isma berkata, sistem gred yang bakal diperkenalkan dapat membezakan kualiti kerja serta memberi peluang kepada semua pihak untuk menikmati peluang kerja sama rata. 

"Sistem gred ini satu peluang yang baik kerana saya lihat banyak syarikat produksi sekarang sesuka hati mengambil kru dan pelakon untuk menjayakan sesebuah naskhah.

"Sistem gred ini juga dapat membezakan orang yang bekerja bersungguh-sungguh sebab minat berbanding bekerja untuk mengisi lapang atau suka-suka," katanya. 

Menurut Isma, selagi sistem gred tidak diperkenalkan industri kreatif tanah air sukar mendapatkan naskhah yang berkualiti. 

"Kadang-kadang pemilihan pelakon sudah cukup hebat tapi kru belakang tabir pula tidak cukup berpengalaman. Jadi, untuk mendapatkan naskhah yang berkualiti itu sukar. 

"Tambahan, duit yang diterima bukan atas tiket untuk berangan kaya sebaliknya biarlah duit itu diperoleh sebagai satu apreasasi untuk kerja keras yang dilakukan," katanya. 

Terdahulu Finas akan membuat pengkelasan syarikat produksi dan pelakon mengikut pengalaman, kepakaran serta gred bagi memberi peluang sama rata kepada semua penggerak industri mendapat dana kreatif.

Usaha itu dilakukan melalui program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia - Malaysian Creative Capacity Enhancement Programme (MyCap) yang menjadi platform pengumpulan data menyeluruh industri kreatif tempatan.

Disiarkan pada: April 11, 2021 @ 12:50pm
d