rap

'Pelakon lama, baharu, semua kena jaga adab'

Oleh Georgie Joseph

Shah Alam: Pelakon Shaheizy Sam, 39, percaya setiap pelakon sama ada baharu atau lama haruslah berpegang pada adab dan saling menghormati antara satu sama lain.

Ia susulan perdebatan mengenai lambakan 'influencer' menceburi bidang lakonan serta sikap buruk segelintir bakat baharu terus hangat diperkatakan.

Dalam masa sama, terdapat segelintir artis senior tampil menyelar tindakan mereka.

Bagaimanapun, Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad berkata perkara itu adalah kitaran biasa dalam industri seni. 

"Setiap pelakon tak kira yang baharu atau lama haruslah berpegang pada adab dan saling menghormati antara satu sama lain. Bagi saya mereka semua ada nilai dan kelebihan sendiri.

"Kena berbalik semula pada diri dan ingatlah kita ini hanya hamba Allah, jadi perlu ada adab. Hormat antara satu sama lain, orang lama pula jangan ingat dia budak baharu nak tunjuk hebat. Kita hormat jaga adab sesama kita.

"Kita orang Malaysia, sejak kecil sudah diajar mengenai adab. Walaupun mereka muda, kita yang sudah berumur sepatutnya kenalah tunjuk contoh yang baik supaya jadi teladan," katanya.

Sam yang ditemui pada pelancaran produk makanan miliknya berasaskan coklat, Syoklat! SyokoTube berkata, pendatang baharu juga banyak kelebihan tersendiri.

"Saya tak salahkan pelakon baharu atau lama sebab semuanya atas kehendak stesen televisyen. Mereka orang berniaga semestinya mengharapkan pengikut untuk menonton, walaupun 'kayu' tak apa! Mungkin itu pegangan mereka.

"Sekarang ini banyak platform media sosial yang boleh popularkan seseorang, semua nak jadi 'influencer' dan mahukan perhatian masyarakat. Pelakon senior zaman dahulu tak ada platform media sosial dan kita hanya harap pada bakat," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2021 @ 12:58pm
d