rap

'Saya ingin kembalikan nostalgia'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

"Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir. Saya cuma ingin mengembalikan nostalgia dan ini adalah satu penghargaan buat mereka."

Itu kata Faizal Tahir selepas membuat kemunculan dengan kembali berkolaborasi bersama kumpulan Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.

Selepas 16 tahun membawa haluan masing-masing, netizen berasa amat teruja dan meninggalkan komen yang baik melihat hantaran Faizal dan Mirwana di laman media sosial mengenai 'reunion' ini.

Bersama dengan Hafiz, Izzat, Akmal dan Along, Faizal adalah anggota asal Mirwana dan keluar dari kumpulan itu pada 2005.

Setahun selepas itu, Faizal menyertai sebuah pertandingan nyanyian realiti dan sejak itu dia terus mengorak langkah sebagai penyanyi solo sehinggalah ke hari ini di mana Faizal juga berjaya mencipta nama sebagai komposer dan penerbit muzik yang berada di kelas tersendiri.

Mirwana pula tetap meneruskan perjalanan mereka dan terus bergiat aktif dalam arena nasyid bersama beberapa anggota baharu.

Lagu Aku Tanpa CintaMu membawa tuah kepada kumpulan nasyid Mirwana dan Jay Jay apabila diangkat sebagai Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era 2005.

Alunan melodi yang merdu serta bait-bait lirik yang menyentuh jiwa berjaya meletakkan Mirwana sebagai antara kumpulan nasyid paling popular ketika itu.

Faizal berkata, ini adalah waktu terbaik mereka muncul bersama dengan memberikan nafas baharu kepada lagu itu.

"Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami bekerjasama semula, saya dan Mirwana sebenarnya sudah berbincang dari beberapa tahun lepas lagi, cuma tunggu masa yang sesuai. Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini." katanya.

Wakil dari kumpulan Mirwana, Hafiz berkata, kolaborasi bersama Faizal adalah usaha untuk mengangkat semula irama nasyid.

"Apa yang lebih penting adalah ukhuwah di antara kami, keluarga dan sahabat diharap akan lebih erat dan baik.

"Sejak kebelakangan ini, kami dapat melihat pelbagai usaha yang dilakukan oleh penggiat seni untuk mengangkat semula nasyid dan kami tidak mahu ketinggalan. Maka 2021 adalah tahun yang tepat untuk kami susuli dengan sebuah lagu nostalgia yang diberi nafas baharu.

"Mengenai pengunduran Faizal 16 tahun yang lalu, itu adalah satu keputusan yang tepat. Jelas ketika itu, Mirwana mempunyai hala tuju muzik, cara dan matlamat yang sedikit berbeza.

"Alhamdulillah nampaknya impian dan hasrat Faizal dengan muzik yang dibawa lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan secara solo dan itu sesuatu yang sukar untuk kami capai bersama," katanya.

Menurut Hafiz, lebih menarik lagi, kesemua ahli baharu kumpulan Mirwana iaitu Naim, Faiz dan Ikram turut sama menjayakan muzik video Aku Tanpa CintaMu 2021 yang mengangkat tema dan isu penderaan kanak-kanak.

"Isu penderaan ini adalah satu gejala dan tragedi yang mesti diberi perhatian oleh semua. Mudah-mudahan menjadi asbab hidayah Allah agar menyentuh hati dan jiwa masyarakat," katanya.

Aku Tanpa CintaMu 2021 juga dimuatkan dalam koleksi audio 'Qibla' yang baharu dilancarkan oleh Faizal dan syarikat rakamannya, Faithful Music. Selain itu Faizal turut memuatkan rakaman semula Ceria Aidilfitri dan lagu baharu berjudul Syahadah bersama dengan 10 klip audio tadabbur yang dibaca olehnya sendiri.

Aku Tanpa CintaMu adalah karya sepenuhnya oleh Mujahid Abdul Wahab manakala sususan muzik versi 2021 ini pula digubah oleh Adib Hussin dan Faizal Tahir sendiri. Lagu ini adalah terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 6:15am
d