rap

Yakin anak pulih semula

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Walaupun kena sawan, dia masih boleh bermain, makan dan minum seperti kanak-kanak lain. Ketika masuk ke bilik bedah untuk menjalani pembedahan pada 23 Oktober tahun lalu, keadaannya masih sama."

Demikian kata bekas heroin filem Jalang, Yasmin Khanif, 32, mengenai anak ketiganya, Muhammad Irfan Ali, 5, yang kini terlantar selepas menjalani pembedahan di bahagian otak.

Yasmin atau nama sebenarnya Rosyasmin Mohd Khanif sedih kerana selepas keluar dari bilik pembedahan, Irfan terlantar sehingga hari ini.

"Saya sampai berkata sendiri, saya yang bawa dia untuk pembedahan, tapi akhirnya jadi begini. Saya sebenarnya nak yang terbaik buat Irfan dan bukan minta jadi begini.

"Saya rasa bersalah. Saya menangis bila fikirkan. Saya hingga terpaksa ambil ubat penenang kerana terlalu memikirkan perkara ini," katanya kepada Harian Metro.

Yasmin yang berkahwin dengan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Humaizi Ibrahim, 37, pada 24 Disember 2012 berkata, masalah Irfan bermula apabila dia terjatuh ketika berusia setahun.

"Selepas itu ada darah beku dan dia menjalani pembedahan untuk keluarkannya. Sejak itulah dia kerap kena sawan. Semakin lama sawannya semakin kerap dan ambil masa yang lama sehingga sejam. Walaupun makan ubat, keadaannya tetap sama.

"Apabila dibuat ujian magnetic resonance imaging (MRI) dan electro encephalogram (EEG), doktor beritahu otak sebelah kiri sudah teruk dan perlu buat pembedahan secepat mungkin," katanya. Menurutnya, jika pembedahan tidak dibuat segera dan Irfan mengalami sawan tiga hingga empat kali, dia akan lumpuh seumur hidup.

"Itulah yang mendorong saya buat keputusan Irfan menjalani pembedahan dengan kos mencecah RM100,000.

"Ikutkan jangkaan doktor, Irfan akan pulih dalam tempoh enam bulan dan keadaannya kembali normal. Sekarang sudah enam bulan tapi perubahannya agak perlahan. Disebabkan kurang berpuas hati, saya pergi berjumpa doktor semalam untuk tahu keadaan sebenar Irfan," katanya.

Menurutnya, doktor memaklumkan berlaku masalah semasa pembedahan yang berlangsung selama 12 jam itu.

"Doktor maklumkan Irfan terkena strok dan ada pendarahan. Jadi mereka terpaksa hentikan pendarahan dan jika tidak, saya akan kehilangan Irfan. Doktor terpaksa mematikan beberapa uratnya. Mereka tiada pilihan. Mereka juga tak cerita pada saya kerana tengok keadaan saya yang tidak tenang.

"Doktor juga kata Irfan masih ada peluang untuk pulih, tapi mereka tak berani untuk berjanji. Apapun mereka pun sudah buat yang terbaik," katanya.

Yasmin berkata, dia amat merindui keletah Irfan yang banyak bercakap, lasak dan aktif.

"Di bulan Ranadan yang mulia ini saya nak minta tolong kawan-kawan semua doakan untuk Irfan. Semoga dia cepat sembuh, boleh bercakap, berjalan dan bermain semula. Saya yakin dia akan sembuh, cuma dia perlukan masa. Semoga Allah balas jasa baik anda semua," katanya.

Dalam pada itu, Yasmin yang juga ibu kepada Sara Sophia, 7, Sarah Summaya, 6, dan Muhammad Iqbal Ali, setahun turut mengeluarkan produk minyak wangi sendiri jenama Yasmin Khanif Collection dan kerepek pisang Yasmin Khanif Kerepek sebagai alternatif mencari pendapatan untuk proses pemulihan Irfan.

Disiarkan pada: April 13, 2021 @ 6:40pm
d