rap

K-Clique pilihan Todak

Oleh Georgie Joseph

Berikutan fenomena dicipta kumpulan hip hop K-Clique, mereka terus jadi buruan pelbagai pihak untuk projek besar.

Terbaru, syarikat Todak mengikat kerjasama dengan kumpulan itu untuk beberapa projek antaranya menjadi wajah kepada jenama pakaian jalanan atau 'streetwear' yang bakal dilancarkan nanti.

Jenama Todak akan dijual menerusi sebuah cawangan butik di SS15, Subang Jaya tidak lama lagi.

Pengasas Todak, Khairul Azlan berkata, impak K-Clique terhadap industri muzik tempatan cukup fenomena dan dia berharap kerjasama yang terjalin di antara mereka akan menjadi kebanggaan bersama nanti.

"Melalui pemerhatian rapi, kami lihat K-Clique dan Todak memiliki sinergi kuat sekali gus membuatkan usaha dan kerjasama ini sangat sepadan. Besar harapan kami agar kerjasama ini dapat menjadi batu loncatan bagi kedua-dua jenama untuk terus maju ke hadapan.

"Saya juga melihat imej kumpulan K-Clique mempunyai keserasian dengan produk-produk dari Todak. Ini bakal dirasai peminat Todak terutama dari penggemar 'streetwear' di butik yang kami bakal lancarkan nanti," katanya.

Selain mempromosikan produk Todak, K-Clique juga akan bekerjasama dengan Todak Music dalam menerbitkan lagu terbaru untuk tahun ini termasuklah penghasilan muzik video.

Ketua Pegawai Eksekutif Todak Music, Ikmal Fareeq berkata, mereka mahu gabungan idea antara kedua pihak mencetus impak dalam industri muzik tempatan.

"Pembikinan lagu dan muzik video ini seiring dengan revolusi yang ingin dibawa oleh Todak menerusi kepelbagaian platfom penstriman digital. Ini bakal dilihat melalui gabungan kerjasama idea kreatif dari kedua pihak.

"Ini antara usaha kami dalam misi membawa impak besar kepada industri penjenamaan produk tempatan sekaligus membawa jenama Todak ke peringkat global dengan lebih efektif.

"Kami sudah membuat pelbagai perbincangan sejak tahun lalu, namun terhenti akibat dari kesan pandemik Covid -19. Kita mensasarkan suku ketiga tahun ini bakal membawa fenomena baru buat peminat Todak dan juga K- Clique," katanya.

Kumpulan dianggotai lapan anak muda dari Kota Kinabalu, Sabah ini ditubuhkan sejak 2014. Kerjaya mereka semakin mendapat perhatian meluas pencinta muzik tanah air melalui single keenam berjudul Mimpi.

Fenomena luar biasa yang dicetuskan kumpulan ini telah menarik minat Todak untuk menjalinkan kerjasama bersama kumpulan yang dianggotai MK, Noki, Tuju, SoMean, K-Deaf, FareedPF, G-Nello dan NastyNas ini.

Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 6:40am
d