rap

Bawa mesej hargai masa

Oleh Najiy Jefri

BERMULA dengan perkenalan di platform Instagram setahun lalu, penyanyi, Ryan Deedat bergabung dengan komposer muda, Heil Nuan dan rapper, Killa Driz menghasilkan lagu terbaharu berjudul Kene Sidai.

Perkataan Kene Sidai adalah slanga yang selalu digunakan oleh anak muda kini dengan menggambarkan perasaan tidak puas hati akibat terpaksa menunggu terlalu lama.

Menunggu dan terus menunggu bagaikan sudah menjadi kebiasaan apabila janji tidak ditepati.

Maka, lirik lagu ini dihasilkan daripada situasi begini dan sangat dekat dengan masyarakat kita selain menunjukkan betapa pentingnya kita perlu menghargai dan menepati masa.

Ryan berkata, perkataan Kene Sidai amat sinonim dengan pengikut Instagram miliknya memandangkan perkataan berkenaan sering dijadikan topik utama.

"Saya aktif berinteraksi bersama pengikut setiap malam menerusi Instagram Live sejak empat bulan lalu. Bermula daripada gurauan 'Ryan Sidai' dan menggelar pengikut saya sebagai 'geng sidai' maka terhasil program bual bicara bersama tetamu undangan dalam 'Sidai Talk' dan mengumpul peminat saya melalui Instagram @gengsidaiofficial.

"Banyak yang kami bincangkan dan respons yang diterima begitu baik. Apabila terhasilnya lagu Kene Sidai, saya gembira dengan maklum balas yang terima. Mungkin juga sebab tema yang diketengahkan dekat dengan semua," katanya.

Kene Sidai adalah ciptaan Adam Armin, Yusuff Khan dan Heil Nuan, manakala lirik pula ditulis Heil Nuan, Ryan Deedat, Killa Driz serta Adam Armin.

Dalam pada itu, Heil Nuan mengakui gembira apabila dapat bekerjasama dengan rakan yang memang sudah lama aktif dalam bidang penciptaan lagu.

Baginya, ini peluang terbaik untuk dia menyumbangkan sesuatu dalam karya ini.

"Sudah tentu saya gembira apabila Ryan sendiri nampak bakat yang ada dalam diri saya dan sudi bekerjasama menghasilkan karya. Untuk orang baharu, peluang sebegini amat saya hargai," katanya.

Bintang termuda yang baru berusia 19 tahun ini kini sedang menuntut dalam jurusan Kejuruteraan Audio.

Kebanyakan lagu ciptaannya sebelum ini diletakkan di dalam YouTube saja.

Bakatnya dikesan Ryan dan kemudian menghubunginya untuk bertemu dan bekerjasama hingga dia kini tampil sebagai penyanyi dalam lagu ini.

Sementara itu, pembabitan Killa Driz memberi impak yang tersendiri dalam lagu Kene Sidai.

Killa yang baru saja melancarkan lagu Siapa Tahu turut memberikan idea dan patah perkataan yang sesuai untuk dijadikan lirik yang sedap didengari.

Kerjasama bersama Ryan bagaikan perjumpaan semula kerana mereka sudah bersahabat sejak 15 tahun yang lalu dan saling mengikuti perkembangan karier muzik di antara satu sama lain.

"Isi utamanya dekat dengan semua yang berkisarkan mengenai masa. Saya harap lagu ini akan diterima baik dan disukai oleh mereka," katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 6:20am
d