rap

Sinar anak Sarawak

Oleh Georgie Joseph

KELANGSUNGAN karier lakonan Henry Golding di Hollywood bakal dirancakkan lagi dengan penayangan filem Snake Eyes: G.I. Joe Origins yang dibintanginya pada Julai nanti. Ternyata, pelakon kelahiran Kuching, Sarawak itu terus mekar di sana.

Henry, 34, terus diberi kepercayaan ramai penerbit di barat apabila watak yang diberikan bukan calang-calang. Bahkan, dalam filem arahan Robert Schwentke itu, dia melakonkan watak utama sebagai Snake Eyes.

Lebih menarik, patung figura sempena filem itu turut dilancarkan baru-baru ini oleh Hasbro. Ternyata, pelakon terbabit sangat teruja apalagi ia satu pencapaian yang cukup bermakna sepanjang karier lakonannya.

Dia turut berkongsi keterujaan itu menerusi sebuah klip di Instagramnya. Dia tidak mahu melepaskan peluang menguar-uarkan mengenai pencapaian yang baginya sebuah mimpi jadi kenyataan.

"Itu wajah saya! Saya bahkan memiliki janggut juga. Ini sangat luar biasa," katanya.

Patung Snake Eyes itu adalah sebahagian daripada siri istimewa G.I.Joe yang diinspirasikan daripada filem terbabit. Klip perkongsian Henry itu asalnya dikongsikan pada acara Hasbro Pulse Fan Fest.

Selain patungnya, turut dilancarkan adalah patung Storm Shadow lakonan Andrew koji, Baroness (Ursula Corbero), Scarlett (Samara Weabing), dan Akiko (Haruka Abe). Patung Henry turut didatangkan dengan pedang dinamakan Morning Light, pisau, dan topi keledar.

Menjelaskan mengenai patungnya itu, Henry berkata ia dibuat dengan penuh teliti dan kisahnya akan dirungkai dalam filem itu sendiri. Dia terutamanya, merujuk kepada tanda Arashikage di tangan patung itu.

"Cerita di sebaliknya (pedang) akan dijelaskan dalam filem itu. Saya rasa kunci utama naskhah itu memaparkan perjalanan Snake (Eyes) mencari dirinya. Ia berkenaan dia memahami motivasinya.

"Permulaan kami (untuk filem itu) dibuat daripada bawah. Dan saya sangat berharap, ia bakal mencetuskan pelancaran sekuelnya lebih luar biasa," katanya.

Terdahulu, artis pertahanan diri iaitu Ray Park menggalas watak Snake Eyes dalam sekuel G.I. Joe: The Rise Of Cobra (2009), dan G.I. Joe: Retaliation (2013). Kisah mengenai adiwira itu sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Untuk filem baharu ini, penggambaran dibuat sepenuhnya di Jepun. Dikhabarkan, banyak elemen daripada filem-filem Jepun turut disuntik dalam naskhah terbabit.

Menurut Schwentke, hala tuju jalan cerita filem itu semestinya dilakukan sebaik mungkin untuk memaparkan setiap elemen terbabit. Dia mahukan naskhah itu membawa makna tersendiri buat semua yang terbabit.

"Kami banyak mencuba pelbagai idea dan secara spesifiknya berkenaan budaya Jepun. Kami berusaha untuk memberi gambaran yang tepat. Saya rasa itulah yang membuatkan filem ini cukup istimewa," katanya.

Dalam perkembangan lain, hari-hari Henry nampaknya cukup ceria sekarang selepas dia bergelar bapa kepada cahaya mata pertamanya bersama isteri tercinta, Liv Lo, baru-baru ini.

Walaupun masih berahsia mengenai bayinya termasuk jantina dan nama, Henry atau nama sebenarnya Henry Ewan Golding makin kerap memuat naik gambar dia menjaga bayinya.

Pasangan terbabit menyambut kelahiran bayi itu pada 31 Mac lalu. Bagaimanapun, berita gembira berkenaan cuma dikongsi, seminggu kemudian iaitu pada 6 April lalu.

Disiarkan pada: April 19, 2021 @ 6:27am
d