rap

Kenang jasa semua pihak

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TANPA Pegawai Perhubungan Awam di syarikat rakaman dan pengamal media seperti wartawan dan jurugambar, semestinya kerjaya seseorang artis pasti tak akan ke mana.

Barangkali, kini memang ada dalam kalangan segelintir artis yang 'terlupa' perkara ini selepas mengecap kejayaan dan mempunyai kehidupan mewah.

Namun, Datuk Awie nyata tidak pernah melupakan pihak di belakangnya selama ini.

Menerusi Misi Kemanusiaan Sayap-Sayap Wings 2021 yang berlangsung Sabtu lalu, Awie menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian kepada bekas Pegawai Perhubungan Awam, termasuk pengamal media yang kurang bernasib baik seperti sakit dan hilang pekerjaan.

"Saya anggap mereka adalah teman seperjuangan yang sedikit sebanyak pernah menghulurkan jasa membantu menaikkan kami kumpulan Wings.

"Walaupun jumlah ini tidaklah banyak, tapi kami berusaha gigih melakukannya sebagai tanda terima kasih buat mereka yang sudah membantu Wings berdiri selama 36 tahun di dalam industri.

"Dengan adanya rezeki ini, dapatlah saya dan kawan-kawan lain turut menyumbang. Sekurang-kurangnya dapat juga meringankan bebanan mereka untuk persiapan Syawal nanti," katanya.

Dalam masa sama, Awie turut mengadakan majlis aqiqah & berendoi anak keenamnya pada majlis yang berlangsung di Damai @ KLCC, Ampang ini.

Bercerita lanjut Awie, 53, berkata, misi kemanusiaan ini sudah lama dilakukannya bersama Wings, tapi mereka jarang menghebahkan kepada umum.

"Kecuali tahun lalu, orang tularkan mengenai lawatan kami ke rumah pelakon veteran, Pak Hamid Gurkha yang cukup mendapat perhatian ramai.

"Bagaimanapun, untuk acara kali ini sebenarnya kebetulan saya nak buat aqiqah dan terfikir juga ingin membantu 18 individu terdiri dari kalangan Pegawai Perhubungan Awam dan media yang pernah membantu perjalanan kerjaya saya dan Wings dalam industri.

"Program kemasyarakatan ini juga hasil kerjasama Sayap-Sayap Wings, Awie Entertainment, Rumah Produksi Merah, termasuk beberapa penaja lain turut menghulurkan sumbangan kepada 50 ibu tunggal di Jelebu, Negeri Sembilan," katanya.

Bercerita juga mengenai bayinya, Putra Ahmad Andeeka yang kini berusia tiga bulan pada Ahad lalu, Awie sekali lagi melahirkan rasa penuh kesyukurannya.

"Bayangkan, saya masih ada rezeki lagi dapat anak pada umur begini. Rasa nak gomol si kecil itu setiap hari dan alhamdulillah semuanya rezeki Allah, buat saya. Syukur teramat sangat.

"Apapun, saya minta tolong doakan terus supaya saya sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan kudrat yang besar untuk menjayakan misi ini selalu. Kalau mampu diteruskan lebih 20 tahun pun, rasanya saya sedia nak buat lagi.

"Dulu, saya sering buat secara diam-diam. Apapun, alhamdulillah saya kini ada menjaga sebuah rumah anak yatim dikenali Rumah Penyayang Nur Iman di Taman Ibukota, Setapak.

"Setiap tahun, saya memang akan bantu pihak pengurusan rumah anak yatim itu. Cuma, kali ini saya tiba-tiba terfikir mahu membuka peluang bantuan kepada orang lain lebih memerlukan seperti bekas Pegawai Perhubungan Awam dan juga pengamal media," katanya.

Disiarkan pada: April 20, 2021 @ 6:41am
d