rap

'Apa salahnya Instafamous jadi pelakon' - Ziela Jalil

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon Datuk Ziela Jalil, 51, kurang bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang menghalang Instafamous daripada berlakon.

Ziela, 51, berkata, mana-mana pihak tidak boleh menghentikan Instafamous atau sesiapa saja untuk menyertai bidang lakonan.

"Rezeki masing-masing di tangan Allah. Contohnya saya jual kuih dan orang lain pun jual kuih, masing-masing ada rezeki. Saya sebagai penerbit kena ikut apa yang penonton nak. Kalau mereka berikan keuntungan kepada penerbit dari segi 'rating' dan pulangan tentulah saya ambil. Kita tak boleh buat cerita syok sendiri dan kena ikut apa yang penonton mahu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, semua pihak yang terbabit dalam sesebuah produksi juga perlu memberi sokongan terhadap Instafamous yang berlakon.

"Kalau betul pun orang itu tak boleh berlakon, pengarah dan pelakon lain kenalah sokong dan tolong dia supaya dapat hidupkan watak.

"Kita perlukan orang-orang yang ada permintaan untuk dapatkan 'ranking'. Ia adalah keperluan pada masa ini. Saya percaya mereka juga bukan main-main untuk bergelar pelakon. Sudah pasti mereka akan serius memperbaiki mutu lakonan sehingga tahap terbaik," katanya.

Dalam pada itu, Ziela turut memberikan teguran kepada pelakon baharu supaya tidak sombong terhadap pelakon senior.

"Kami bukan nak sangat dihormati tapi cuma keprihatinan terhadap kewujudan kami. Kadang-kadang dengan bagi senyuman sudah buat kami sebagai pelakon senior berbesar hati. Zaman saya apabila jumpa pelakon lama, kami akan tegur serta salam cium tangan," katanya.

Ziela memuji pelakon Nur Fazura yang amat berbudi bahasa ketika kali pertama mereka bertemu.

"Dia masih baru apabila kami berjumpa di majlis Anugerah Sri Angkasa anjuran RTM satu ketika dulu. Apabila dia bangun untuk naik pentas terima anugerah, dia terpandang saya serta perasan dan terus sebut nama saya.

"Ini pertemuan kali pertama dan terasa seperti satu kenangan manis bagi saya. Justeru saya sentiasa anggap dia bagus. Waktu itu kami belum kenal sesama sendiri tapi perhatiannya itu sudah cukup bagus," katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2021 @ 12:42pm
d