rap

Aman Ra hargai penghantar makanan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi rap Aman Ra, 34, bersyukur video penghargaan berkonsep 'Spoken Words' terhadap penghantar makanan dihasilkannya berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia.

Aman atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin berkata, golongan itulah sebenarnya antara barisan hadapan yang perlu dihargai sebaik-baiknya.

"'Spoken Words' adalah satu bentuk penghargaan buat mereka (penghantar makanan). Pada pendapat saya, mereka hero sebenarnya, barisan hadapan kita.

"Mereka satu daripada komponen penting dalam barisan hadapan kita. Mereka yang menghantar barangan makanan dan keperluan kita.

"Apabila kita dengar macam-macam berita mengenai perjuangan mereka, terima kasih! Secara peribadi, saya sangat bersyukur dengan perjuangan mereka," katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu Bangun itu memuat naik video kompilasi klip penghantar makanan terbabit di media sosial termasuk Instagram dan TikTok.

Video itu berjaya mendapat lebih 394,000 tontonan, 67,000 tanda suka, dan 5,500 perkongsian di TikTok.

Kebelakangan ini, berita kemalangan membabitkan penghantar makanan jelas membimbangkan. Bagaimanapun, ramai masih berjuang untuk kelangsungan hidup dengan melakukan pekerjaan terbabit.

Untuk rekod, Kementerian Pengangkutan Malaysia melaporkan 17 kes kematian, 64 cedera ringan dan 10 parah dalam kemalangan membabitkan penghantar makanan atau penunggang e-hailing tahun lalu.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 4:50pm
d