rap

Single sulung 'Che Salmah'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SIAPA sangka, walaupun sudah beberapa bulan drama bersiri Takdir Yang Tertulis melabuhkan tirainya, nama Che Salmah masih meniti di bibir peminat dan penonton setia drama itu.

Secara tak langsung, itu membuktikan aksi dan lakonan Didie Alias membawa watak itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat penonton.

Disebabkan populariti watak itu, Didie mencurahkan idea serta keringatnya dalam lagu yang diberi judul Tap Tap Love menggabungkan beberapa dialog yang pernah dilantunkannya sebagai Che Salmah.

"Saya pun tak sangka walaupun drama itu sudah tamat, watak Che Salmah itu masih kekal dalam ingatan penonton setianya. Malah, fenomena itu juga mencuri perhatian syarikat rakaman Suria Records (SRC) yang melamar saya untuk bekerjasama dalam single baharu ini.

"Pada awalnya, SRC mencadangkan untuk saya merakamkan lagu runut bunyi Takdir Yang Tertulis 2. Namun, saya sendiri pun tak pasti sama ada drama bersiri itu akan diteruskan untuk musim kedua.

"Jadi, mereka menukar rancangan dan mencadangkan saya menghasilkan single khas untuk peminat dan sesuai digunakan untuk pelbagai acara termasuk Aidilfitri dan sebagainya," katanya.

Berkongsi mengenai proses penghasilan single ciptaan dua komposer, Ilya Hida dan Ruvi itu, Didie menganggap ia adalah 'kerja gila'.

"Ini memang kerja gila! Dalam masa dua minggu, kami cuba menyiapkan single ini dan alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya.

Menurut Didie, kerana konsep single sulungnya ini adalah lagu pop, ia juga akan digunakan sebagai lagu tema untuk acara sempena Aidilfitri yang dikelolakannya.

"Pada 30 April ini hingga 2 Mei nanti berlangsung acara Raya Bersama Che Salmah 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan secara tak langsung, lagu ini juga sesuai untuk saya gunakan sebagai lagu tema.

"Jadi, dah alang-alang semuanya dihasilkan lebih kurang dalam masa sama, saya jalankan secara serentak untuk acara besar itu dan mempromosikan single baharu," katanya.

Didie mengharapkan single sulungnya ini diterima baik oleh peminat dan pendengar, sekali gus membantu menghiburkan mereka yang tertekan akibat pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: April 23, 2021 @ 6:20am
d