rap

Episod 6 Jejak Rasul 2021 catat 2.2 juta tontonan

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Program Jejak Rasul 2021 (JR2021) di TV3 berjaya mencatat 2.2 juta tontonan untuk episod keenam yang ditayangkan Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, beliau bersyukur dan gembira dengan pencapaian itu.

"Alhamdullilah, JR2021 mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan sejak minggu pertama bersiaran dengan 1.2 juta penonton (episod 3) dan terkini dengan catatan 2.2 juta penonton di episod 6.

"Walaupun tidak dapat menjalankan penggambaran di Makkah dan Palestin seperti dirancang, saya kagum dengan komitmen dan dedikasi produksi JR2021 yang berusaha dan berkarya dengan kreatif dalam menyempurnakan edisi tahun ini.

"Penonton kami tetap dapat menyaksikan naratif dan videografi yang cantik ketika menjejak peninggalan sejarah Islam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Edisi ke 27 Jejak Rasul tahun ini tampil dengan Jejak Rasul: Ulama Pewaris Rasul membawakan kesinambungan dakwah Islamiah di Tanah Melayu seawal kurun pertama Hijrah.

Ia diterbitkan bersama oleh Muhamad Amin Yusoff dan Ahmad Fedtri Yahya selain Ahmad Fedtri turut bertindak sebagai hos.

Penggambaran yang dilakukan selama 41 hari di tujuh negeri itu membawa penonton menjejak peninggalan sejarah dakwah di Malaysia.

Lokasi Tanah Melayu yang strategik menjadi laluan utama pedagang sutera menghubungkan dunia Timur dan Barat, dengan pelabuhan-pelabuhan di daerah pesisir Tanah Melayu dipercayai menjadi pintu masuk golongan alim ulama ke negara ini.

Siaran episod keenam itu bagi mencari jawapan benarkah sebuah wilayah Islam sudah wujud di Melaka sebelum kehadiran Parameswara. Adakah benar Kesultanan Melaka terbentuk hasil dakwah alim ulama asing?

Pada episod ketujuh yang bersiaran hari ini meneruskan penggembaraan di Melaka untuk mengenalpasti pusat penyebaran Islam di Melaka pada zaman kegemilangannya.

JR2021 yang mendapat tajaan Pharmaniaga Baraka dan Jabatan Muzium Malaysia ditayangkan dari Jumaat hingga Ahad jam 6.30 petang.

Siaran ulangannya ditayangkan di TV9 setiap Sabtu dan Ahad, jam 10.30 malam.

Disiarkan pada: April 23, 2021 @ 7:46pm
d