rap

Pelakon, empat kru positif Covid-19

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Susulan pelakon Sweet Qismina disahkan positif Covid-19 pada 20 April lalu, penerbit Cintakasih Productions Sdn Bhd juga pelakon, Aida Aris mengesahkan lima individu lain dalam produksi itu turut dijangkiti.

Mereka terdiri daripada seorang pelakon utama lelaki, Akif Halqi dan empat kru semuanya wanita iaitu pembantu pengarah 2, pembantu peribadi pengarah, konti dan clapper.

Aida Aris ketika dihubungi berkata, jangkitan itu berlaku ketika mereka menjalani penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak pada 15 April lalu.

"Saya difahamkan sebelum masuk lokasi dia (Sweet Qismina) terbabit dalam penggambaran drama bersiri dan mungkin dia dijangkiti di situ. Habis saja dengan drama itu, dia terus sambung dengan produksi saya pula untuk filem Tariandi ini.

"Kami mula penggambaran pada 15 April dan pada 16 April dia mengadu demam. Selepas berehat beberapa hari, dia menjalani ujian saringan dan hasil ujian positif. Jadi, saya terus arahkan produksi untuk hentikan penggambaran.

"Apabila Sweet disahkan positif, Akif pula mengadu badan sejuk dan sakit tekak. Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklumkan seluruh produksi ini dibawah pemerhatian mereka. Kami pun akur dan semua kru tidak dibenarkan keluar dan hanya duduk di penginapan sebelum ujian saringan dibuat.

"Namun, saya membawa Akif termasuk tiga kru lain untuk buat ujian saringan di hospital swasta dahulu kerana mereka ini kerap bersama Akif. Saya pun buat ujian saringan sama. Hasil ujian, Akif positif dan kami yang lain negatif. Jadi, Akif terus dibawa ke pusat kuarantin dan kami tidak dibenarkan bercampur dengan kru lain. Sementara kru lain menjalani ujian saringan pada 21 April," katanya kepada Harian Metro.

Aida memaklumkan, kru menjalani proses kuarantin di Ulu Kinta dan Tanjung Rambutan sementara yang positif ditempatkan di Pusat Kuarantin di Ipoh.

Aida berkata, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selepas Sweet Qismina disahkan positif.

 

Disiarkan pada: April 23, 2021 @ 8:22pm
d