rap

Kurniaan tak terhingga

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PEMBACA berita dan personaliti TV3, Azliyanti Ib-berahim berkongsi khabar gembira apabila kini hamil anak keenam dengan usia kandungan mencecah lima bulan.

Azliyanti juga isteri penerbit drama dari syarikat Aquila Emas iaitu Syarizan Md Isa berkata, kehamilan itu adalah kurniaan yang tidak terhingga buat dirinya dan keluarga.

"Benar apa yang disebut dalam ayat suci al-Quran, sebaik-baik perancangan manusia, namun perancangan Allah itu lebih baik dan sesungguhnya kita hanya merancang, tetapi hanya Allah yang menentukan segalanya.

"Syukur, walaupun perancangan kami hanya mahukan lima cahaya mata, namun tanpa diduga, Allah mengurniakan lagi rezeki anak ini. Alhamdullilah, sujud syukur dan terima kasih Allah atas segala nikmat dan kurniaan yang tidak terhingga ini. Doakan agar segalanya dipermudahkan dan semoga Allah pelihara kandungan ini," katanya.

Menurut Azliyanti, dia juga masih menjalani ibadah puasa seperti biasa dan bersyukur dipermudahkan.

"Alhamdullilah, keadaan saya dan bayi dalam kandungan okay. Menurut doktor, bayi aktif dan kuat walaupun berpuasa seperti saya. Sebenarnya, berpuasa ketika berbadan dua bukan satu perkara yang baharu untuk saya. Sebelum ini, empat daripada lima anak, semuanya saya dapat berpuasa dengan baik di bulan Ramadan ketika mereka masih dalam rahim. Syukur kerana semuanya tiada masalah.

"Lebih penting ibu yang mengandung perlu ambil nutrisi makanan yang cukup, terutama kurma dan air. Ingat, sahur tidak boleh tinggal sama sekali. Insya-Allah, tiada masalah untuk seharian berpuasa dan jangan lupa berdoa agar kandungan sihat.

"Bagi saya, seronok berpuasa ketika berbadan dua ini kerana selain dapat berpuasa penuh, ia juga satu latihan bagi kandungan dilatih sejak dari dalam rahim lagi untuk patuh perintah Allah," katanya.

Serentak dengan perkongsian berita gembira itu, Azliyanti turut melancarkan koleksi terbaharu jenama tudungnya, Hijab by Azliyanti Ib-berahim dengan memperkenalkan koleksi AZpirasiRaya2021 iaitu gabungan tudung bawal premium dan eksklusif dengan rekaan terkini.

"Bukan sesuatu yang mudah untuk bangkit semula apabila sudah lama menyepi daripada dunia perniagaan. Sejak lima tahun lalu saya mengusahakan perniagaan ini dan selepas berehat lama, saya membuat keputusan untuk kembali semula.

"Bukan hanya disebabkan mahu fokus membesarkan anak-anak, tetapi saya menganggap kemunculan semula ini adalah hanya menumpang rezeki yang dibawa oleh mereka (anak)," katanya.

Azliyanti yang juga bekas hos program Potret Niaga berkata, perniagaan tudungnya kali ini lebih besar dan fokus kerana turut disertai rakan kongsinya yang lain, biarpun dalam keadaan negara masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19.

"Saya melihat perkara ini dari sudut positif. Waktu ini adalah yang paling sesuai untuk berniaga secara dalam talian kerana kerajaan tidak menggalakkan kita untuk keluar rumah, apatah lagi berada dalam keadaan bersesak-sesak. Jadi, membeli barangan secara dalam talian adalah satu langkah bijak.

"Jenama AZ by Azliyanti Ib-berahim ini diberi nafas baharu dan ia adalah hasil cetusan idea bersama rakan kongsi yang lain. Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, AZ by Azliyanti Ib-berahim mengorak langkah dengan membawakan tujuh koleksi corak tudung bawal bersama motif rekaan warna pastel dan floral, selain menggunakan kain berkualiti tinggi iaitu premium matte satin," katanya.

"Koleksi ini turut direka khas dengan penambahan kerdipan butiran batu kristal Swarovski mengikut kehendak si pemakai agar tampak lebih eksklusif," katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 6:30am
d