rap

Tayangan Nur di Indonesia satu episod saja...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Drama Nur yang pernah mencipta fenomena di negara ini pada 2018 hanya disiarkan satu episod di stesen televisyen Indonesia, MNCTV.

Ia selepas stesen TV itu menggantikan dengan menyiarkan drama atau sinetron lain dari negara itu.

Difahamkan drama terbitan Radius One itu, tidak mencapai jumlah tontonan atau rating yang bagus.

Penerbit dan pengarah Nur, Shahrulezad Mohameddin, berkata drama itu dihasilkan mengikut selera penonton rakyat Malaysia dan bukan selera penonton di sana.

"Kalau betul Nur hanya ditayangkan satu episod saja pun, bagi saya tidak ada isu. Lagi pula saya menghasilkan drama ini mengikut selera penonton kita, bukan ikut kehendak penonton di sana. Jadi, apabila drama ini ditayangkan di sana, kita tak jangka ia akan diterima atau tidak. Selera penonton berbeza.

"Macam makanan juga, rasa sate kita tidak sama dengan sate di sana. Kiranya, tak boleh paksa untuk mereka terima karya kita. Jadi, saya tidak mahu komen soal selera penonton mereka," katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan, sebuah lagi stesen TV di sana iaitu Indosiar turut menayangkan drama yang mengambil idea daripada Nur iaitu Bismillah Cinta yang ditayangkan jam 7 malam.

"Banyak komen yang membandingkan drama ini dengan Nur. Bagi saya, kalau

betul Nur tidak menarik, takkan mereka tiru kan? Lagi satu, berdasarkan respons mereka okay saja. Kalau berbalik soal 'rating' itu saya tak tahu. Jadi tak tahu nak cakap apa.

"Apa yang penting, idea drama Nur dan mesej dakwah yang saya nak sampaikan dalam drama ini diterima baik pengkarya di sana untuk diterbitkan menjadi drama lain pula," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan drama Nur yang menampilkan pelakon Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Noorkhiriah dan ramai lagi itu ditayangkan di platform MNC Media bermula 13 April lalu.

Ia adalah projek kerjasama Sistem Televisyen Malaysia Berhad dengan MNCTV untuk memperkenalkan lagi drama terbabit ke negara jiran itu.

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 12:56pm
d