rap

Alif Satar serba salah nak buat 'review' produk makanan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal, Alif Satar mengakui dia sering dihubungi banyak pihak yang meminta bantuan bagi meringankan bebanan yang ditanggung mereka sekarang.

   Alif, 31, atau nama sebenar, Muhammad Alif Mohd Satar berkata, permintaan bantuan terbabit banyak diterimanya sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan pertama (PKP 1.0), tahun lalu.

   "Tapi kadang-kadang hati kita pun tak tenang juga dan anggap mereka cuba menipu. Kalau nak bagi duit secara fizikal untuk sedekah, memang ada.

   "Saya juga, tak lupa selalu bayar zakat di Pusat Pungutan Zakat (PPZ) sebagai cara membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik. 

  "Ditambah, dengan keadaan Covid-19 sekarang, semua orang diuji dengan dugaan yang berbeza," katanya.

   Prihatin dengan situasi semasa, Alif mengakui dia juga serba salah untuk membuat perkongsian berkaitan makanan yang dianggap mewah di media sosialnya.

   "Pada hal, saya sebenarnya nak buat 'review' untuk produk makanan sendiri. Sebagai peniaga, kenalah buat untuk promosi. Tapi, saya tak pasti pula siapa yang akan menonton video itu.

  "Jadi biarlah apa yang saya buat di tepi (hulurkan sumbangan), urusan di antara saya dengan Tuhan. Orang nak cakap apa pun, biarlah.

   "Mereka pun tak tahu apa-apa yang saya buat secara peribadi," katanya yang ditemui ketika sidang media pelancaran muzik video single Lagu Raya Alif Satar and The Locos di ibu kota, baru-baru ini.

 

 

 

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 5:56pm
d