rap

Kekok terbit lagu nasyid

Oleh Georgie Joseph

BATAS kerjasama antara pengkarya seni sememangnya tiada had apabila menyentuh mengenai muzik. Hakikatnya, percaturan menggabungkan pemuzik berlainan aliran karya, dapat dilihat satu kombinasi yang menarik.

Demikian juga kerjasama terjalin antara vokalis Bunkface, Sam dengan kumpulan nasyid tersohor, Inteam. Menerusi lagu Mencari Sinar, mereka berpadu suara dalam misi sama.

Misi itu tidak lain untuk menyampaikan dakwah buat masyarakat, terutama bagi kalangan muda-mudi. Ditulis Allahyarham Ahmadi Hassan dan susunan muzik oleh Sam dan Epul Kuat, nyata lagu itu sangat bermakna buat mereka.

Menurut Sam, kerjasama itu adalah antara doa penting yang akhirnya termakbul untuknya secara peribadi. Dia juga bersyukur mempelajari banyak ilmu daripada Inteam sepanjang proses kerjasama itu.

"Saya pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi selalu tak jadi. Namun, bila Allah makbulkan doa saya, tiba-tiba label Smileyriver menawarkan untuk bekerjasama merakamkan lagu Mencari Sinar.

"Doa saya termakbul dan semestinya sangat teruja menyanyi sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Syukur alhamdulillah, bekerja dengan pihak Inteam sangat mudah dan mereka juga lebih berpengalaman. Jadi, saya banyak mengambil input dan memperoleh ilmu daripada mereka," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai pembikinan lagu itu, Sam selaku penerbit agak kekok mulanya untuk hasilkan lagu nasyid. Namun, perbincangan sepakat mereka banyak membantunya untuk melunaskan tugasan itu.

"Ini kali pertama saya terbitkan lagu untuk kumpulan nasyid dan memang agak mencabar juga. Saya dan Epul mengambil masa satu minggu untuk menghasilkan susunan lagu yang sesuai seperti dibincangkan.

"Kemudian, kami cuma mengambil masa satu hari untuk proses rakaman suara bersama dengan anggota Inteam. Saya turut meminta khidmat Fauziah Gambus untuk menyumbangkan alunan gambusnya," kata Sam.

Menerusi karya baharu itu, Sam berharap pendengar dapat menikmati sisi berbezanya sebagai penyanyi. Lebih penting, dia mahukan mesej lagu itu sampai dan menyentuh hati pendengar.

"Besar harapan saya agar pendengar muzik tempatan dapat menerima karya saya yang mungkin kali ini sedikit berlainan konsepnya berbanding terdahulu. Yang penting, hayati mesej-mesejnya dan semoga dapat memberi sedikit inspirasi dalam hidup mereka," katanya.

Dalam pada itu, Inteam turut teruja bergandingan dengan generasi lebih muda kali ini. Bagi mereka, ia satu kerjasama yang cukup baik dan prosesnya menyenangkan.

"Alhamdulillah, Inteam diberi kepercayaan untuk rakam lagu bersama Sam Bunkface. Proses rakaman lagu Mencari Sinar tidak mengambil masa lama dan berjalan dengan baik.

"Kami seronok kerana Sam juga amat teruja dengan projek kali ini memandangkan pertama kali bergandingan dengan artis nasyid. Semoga lagu ini mendapat sambutan dalam kalangan semua pendengar baharu dan lama," kata Inteam.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 6:30am
d