rap

Jamal bawa dua anak kecil hadiri iftar, sebagai pendedahan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah, 62,  mengambil pendekatan membawa keluarganya hadir bersama pada setiap majlis atau program iftar yang disertainya.

Jamal yang ditemui pada sidang media perasmian Iftar 2021 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) semalam berkata, tujuannya berbuat demikian kerana mahu mendedahkan dua anaknya iaitu Azura dan El Issac Yamani atau Zack kepada masyarakat.

"Setakat ini, saya hanya sehari sahaja berbuka puasa di rumah sendiri iaitu pada 26 April lalu, manakala selebihnya, kami sekeluarga selalu berbuka di luar. 

"Waktu siang saya memang ada di rumah bersama keluarga dan malam pula sibuk dengan aktiviti berbuka puasa kerana memenuhi undangan pelbagai pihak termasuk di luar Kuala Lumpur.

"Saya akan bawa anak-anak sebagai pendedahan. Cuma, saya bimbang juga terutama pada Azura jika dia akan mengganggu majlis. Tapi, saya fikir anak-anak juga perlu didedahkan kepada masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, majlis perasmian Iftar 2021 dibuat oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Dr Noor Zari Hamat serta Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop. 

Jamal berkata, walaupun sedar risiko membawa anak-anak keluar di tempat umum dalam keadaan pandemik sekarang, dia tetap berharap tiada perkara buruk yang berlaku kepada mereka.

"Tak dinafikan dalam keadaan pandemik yang makin menular sekarang, memang saya risau juga. Tapi saya berserah kepada Allah dan berharap semoga tiada apa-apa.

"Saya kasihan tengok mereka duduk terkurung di rumah. Terutama, Azura, yang baru berusia dua tahun dan sangat aktif. Dia pun tidak takut dengan sesiapa," katanya.

Iftar 2021 @ Ramadan Online akan disiarkan selama dua hari bermula hari ini dan esok bermula jam 4 petang hingga jam 8 malam menerusi Facebook JKKN menerusi pautan Facebook.com/mysenibudaya dan JKKN TV.

Selain laungan Azan oleh Jamal, penonton juga boleh menyaksikan bacaan al-Quran oleh Ustazah Sharifah Khasif dan Zizi Kirana, Bicara Ramadan dari agamawan, Ceramah Ramadan dari PU Azman dan Imam Muda Asyraf serta pertandingan nasyid.

Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 4:29pm
d