rap

Kambing 'bercakap' bernama Mustafa

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN kini negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19, Ramadan kali ini tetap diserikan dengan tayangan drama menarik buat tontonan masyarakat.

Justeru, istimewa Ramadan ini pastinya TV9 juga menyediakan drama terbaiknya iaitu Assalamualaikum Mustafa sebanyak 13 episod, terbitan Country & Universal Sdn Bhd.

Drama arahan Fairuz Loy ini akan menemui penonton setiap Rabu dan Khamis mulai 5 Mei ini, jam 9.30 malam. Apa yang pasti, jalan cerita drama Assalamualaikum Mustafa takkan menghampakan.

Padat dengan mesej positif, Assalamualaikum Mustafa mengisahkan Atok Budin, seorang penternak terpaksa menjual kesemua kambing peliharaannya kerana sering merosakkan tanaman orang-orang kampung kecuali anak kambing diberi nama Mustafa.

Suatu hari, anak Atok Budin iaitu Aishah berpindah balik ke rumah bapanya bersama anak lelaki, Amar selepas kematian suami. Justeru, Aishah berharap Amar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kampung.

Atok Budin pula sangat gembira dengan kehadiran anak dan cucunya kerana sudah lama tinggal bersendirian di kampung kecuali jika cuti semester, barulah anak bongsunya, Harris akan pulang dan menemani seketika.

Oleh itu, kedatangan Ramadan kali ini adalah kegembiraan berganda buat Atok Budin apabila dapat berkumpul dengan anak dan cucunya buat pertama kali. Namun, Harris pula suka menyakat Amar.

Di kampung itu, terdapat tiga orang kanak-kanak yang sebaya dengan Amar iaitu Yaya, Comel dan Ali yang suka berkawan. Tapi, Amar tidak menyenangi mereka kerana dianggap ketinggalan zaman.

Namun, yang pasti Amar sentiasa melihat Atok Budin bercakap dengan Mustafa. Dia pelik, tapi tidak mengendahkannya sehinggalah suatu hari Amar seperti mendengar Mustafa memanggil namanya.

Dia menceritakan perkara itu kepada Atok Budin, ibu dan bapa saudaranya, Harris, tapi semua orang tidak mempercayai dan membuat kesimpulan Amar terlalu rindukan arwah bapanya.

Amar sedih dan dia akhirnya 'berkawan rapat' dengan Mustafa. Malah, Mustafa seolah-olah memahami masalah yang dihadapi oleh Amar dan menasihatinya supaya berbaik dengan kawan-kawan baru.

Bagaimanakah kesudahan Amar dan Mustafa? Apakah Mustafa benar-benar boleh bercakap? Semua jawapan ada dalam drama Assalamualaikum Mustafa yang dibintangi pelakon cilik, Adib Haziem sebagai Amar, Kazar (Atok Budin), Rozita Che Wan (Aishah) dan Syazwan Zulkifly (Harris).

Disiarkan pada: April 30, 2021 @ 6:30am
d