rap

TV AlHijrah jalin kerjasama dengan Palestine TV

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Stesen televisyen TV AlHijrah bekerjasama dengan Palestine TV yang menjurus pada kandungan berita dan hal ehwal semasa membabitkan kedua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pelbagai perancangan jangka pendek dan panjang sudah diatur menerusi pertemuan diadakan secara dalam talian, semalam.

"Kerjasama ini menjurus dari sudut kandungan Berita dan Ehwal Semasa serta dokumentari mengenai budaya dan sejarah Palestin itu sendiri.

"Berita AlHijrah juga akan mendapat laporan dan visual secara terus serta potensi menerima laporan secara langsung daripada wakil Palestine TV yang berpusat dari Gaza, Baitulmaqdis dan seluruh Palestin menerusi talian Skype atau Zoom.

"Pihak Palestine TV turut bersetuju untuk memberikan akses secara terus bahan siaran termasuk kapsul serta dokumentari pendek yang disiarkan mereka. Turut dicadangkan siaran solat sunat Aidilfitri dari Masjidil Aqsa yang berkemungkinan disiar di TV AlHijrah pada 1 Syawal nanti," katanya.

Perbincangan strategik kedua pihak itu dihadiri Duta Palestin ke Malaysia, H.E. Walid Abu Ali serta barisan pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi.

Walid Abu Ali berkata, dia amat berkeyakinan dan menaruh kepercayaan kepada kemampuan serta kewibawaan TV AlHijrah dan Palestine TV dalam meneroka lebih banyak potensi kerjasama agar manfaat akan diperolehi kedua-dua pihak.

"Antara yang menarik adalah pertukaran kandungan bahan siaran daripada TV AlHijrah termasuk kandungan yang mempromosikan pelancongan dan budaya negara ini bagi keperluan siaran dokumentari di Palestine TV.

"Peluang ini juga dapat digunakan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai isu Palestin serta memberikan ruang kepada semua untuk membantu rakyat Palestin," katanya.

Dalam perbincangan itu juga, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkemaskan kerjasama erat ini dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak yang dijadualkan selepas Aidilfitri.

Disiarkan pada: April 30, 2021 @ 12:22pm
d