rap

Tak bercinta, tapi Afieq beri Wani hadiah hari jadi istimewa!

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Afieq Shazwan mendedahkan dia ada meraikan sambutan hari jadi dan memberi hadiah istimewa buat 'teman tapi mesranya', penyanyi Wani Kayrie, 21, pada Mac lalu.

Afieq, 24, ditemui berkata walaupun hubungan mereka belum lagi melangkah ke fasa bercinta, tapi Wani diakui seseorang yang cukup istimewa di hatinya.

"Hubungan saya dan Wani, kami sehingga kini baik-baik saja dan masih dengan status 'teman tapi mesra' itu. Cuma, pada tahun ini saya ada meraikan hari jadinya dan memberi dia hadiah istimewa.

"Ini kali pertama saya berikan hadiah istimewa yang juga salah satu barangan kesukaan Wani. Saya sekadar cuba buat kejutan untuknya," kata Afieq kepada Harian Metro.

Memilih untuk merahsiakan apa hadiah yang diberikan itu, Afieq berkata yang penting Wani memang suka. Ujarnya lagi, dia dan Wani, mereka selesa menjalin persahabatan dengan cara tersendiri dan soal jodoh Allah yang tentukan.

"Saya tak tahu sejauh mana perhubungan kami nanti. Jodoh, Allah tentukan. Malah, kami pun masih muda dan ada fokus masing-masing dalam karier dan perjalanan hidup.

"Buat masa ini, Alhamdulillah hubungan kami baik. Malah, kami juga dikelilingi rakan-rakan yang sama. Jadi, tiada masalah untuk saya dan Wani berkawan dengan sesiapa sahaja," katanya.

Afieq yang popular dengan lagu Lelaki Di Telefon berkata dia juga menghormati peminat yang menyokong hubungan baiknya dengan Wani dan juga yang bersikap sebaliknya.

Hubungan Afieq dan Wani mula rapat sejak 2018 lalu ketika mereka sama-sama menyertai program Big Stage musim pertama. Bermula dari situ hingga kini, hubungan mereka sering jadi perhatian kerana masing-masing ada memuat naik foto dan video bersama di akaun media sosial.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 1:34pm
d