rap

Diana Danielle dah yakin nak jadi penyanyi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon Diana Danielle, 29, mengakui trauma untuk menyanyi selama 10 tahun kini hilang selepas video nyanyiannya untuk 'cover version' lagu Arcade di YouTube mendapat sambutan luar biasa.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata dia terkejut dan terharu bakat nyanyiannya dipuji ramai sekali gus menaikkan semangatnya serius bergelar penyanyi.

"Kalau ikutkan, saya memulakan karier seni dengan niat untuk menyanyi lebih 10 tahun lalu. Bagaimanapun, saya trauma apabila bakat saya dihina individu tertentu yang terus mematikan hasrat untuk jadi penyanyi.

"Namun, tahun lalu saya tiba-tiba jadi rindu sangat untuk menyanyi sebelum dilamar jadi artis naungan Universal Music Malaysia. Sebagai permulaan, saya muncul dulu dengan lagu-lagu nyanyian semula termasuk Arcade itu.

"Saya ingatkan hanya empat ke lima ribu yang menonton pun sudah cukup tapi kini video itu hampir mencecah 100,000 tontonan. Semestinya, saya sangat bersyukur dengan sokongan padu itu dan menaikkan lagi semangat untuk menyanyi," katanya.

Pelakon filem Gol & Gincu Vol. 2 Itu bagaimanapun menekankan dia tidak sambil lewa menceburi bidang nyanyian pula. Baginya, niat itu bukan sekadar hobi sebaliknya demi kelangsungan karier muzik yang serius.

"Disebabkan itu, saya mahu tampil dengan lagu 'cover version' terlebih dahulu. Saya mahu raih perhatian ramai untuk melihat serta menilai kemampuan sebenar saya sebagai penyanyi.

"Daripada situ, barulah dapat mengesan sejauh mana potensi diri mampu pergi. Lagipun sekarang selera pendengar muzik tidak tetap dan paling penting, saya perlu menekankan penghasilan lagu berkualiti.

""Namun, sambutan terhadap lagu Arcade itu benar-benar meyakinkan saya. Malah, saya ingin jadi penyanyi pun bukan kerana hobi sahaja, sebaliknya mahu jadikan ia kerjaya kukuh untuk periuk nasi saya juga," katanya.

Selepas seminggu dimuat naik, video berkenaan mendapat tontonan lebih 83,000. Rata-rata komen mengatakan Diana memiliki bakat nyanyian sangat baik serta berjaya membuktikan sisi muzikal yang setaraf penyanyi antarabangsa.

 

Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 2:20pm
d