rap

Nora Danish dijangkiti Covid-19

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Selain pelakon Tiz Zaqyah yang mengesahkan dia dijangkiti Covid-19,  seorang lagi pelakon popular tanah air iaitu Nora Danish turut disahkan positif pandemik itu.

Nora tampil berkongsi berita sedih yang menimpa dirinya itu menerusi perkongsian hantaran di Instagram.

Menurut Nora, dia membuat ujian calitan kerana mempunyai kontrak rapat dengan individu dalam kategori C.

"Dukacita dimaklumkan, saya didapati positif Covid-19, hari ini (9 Mei). Semalam, saya ada buat ujian calitan kerana menjadi kontrak rapat.

"Keputusan pagi tadi mendapati saya positif walaupun tiada sebarang simptom. Sekarang saya kuarantin sendiri di dalam bilik agar anak-anak dan suami selamat," katanya.

Ujar Nora, ahli keluarganya juga sudah melakukan ujian calitan melalui kaedah 'Real-Time Reverse Transcription-Polymerese Chain Reaction' (RT-PCR) atau kit ujian pantas antigen pada jam 12 tengah hari tadi.

Nora turut menasihatkan individu yang pernah bertemu dengannya antara 4 hingga 8 Mei lalu supaya tampil membuat ujian calitan. 

"Doakan untuk kami semua ya. Jaga diri dan akur prosedur operasi standard (SOP). Maafkan saya," katanya

Bagaimanapun, Nora memaklumkan dia sepatutnya menghadiri temujanji untuk mendapatkan suntikan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, pagi tadi.

Katanya, buat masa ini dia dinasihatkan agar menjalani  proses kuarantin duhulu. Apapun, Nora yakin pasti ada hikmah buatnya di atas apa yang berlaku ini.

Menerusi perkongsian dibuat di media sosial itu, rata-rata pengikut Nora pada kalangan rakan selebriti dan peminatnya mendoakan semoga dia cepat sembuh dan sihat semula.

 

 

 

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 5:42pm
    d