rap

Jodoh 'Gerak Khas'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

EPISOD duka sudah dibuang jauh-jauh dan kini pelakon, Sheera Iskandar, 36, bahagia melayari kehidupan berumah tangga dengan suaminya, Mohd Halim Abdul Gani, 34.

Pasangan sama cantik dan sama padan ini selamat diijabkabulkan pada jam 6.08 petang Isnin lalu di Magica Events Hall, Quill City, Kuala Lumpur.

Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shahira Ilani Tengku Iskandar berkata, pertemuan mereka bermula ketika drama popular Gerak Khas menjalani penggambaran di Labuan, Sabah pada 2019.

"Kami hanya bertentang mata, namun selepas itu saya dapat mesej daripada suami menerusi direct mesej (DM) Instagram.

"Saya pula melayan mesej yang dihantar atas kapasiti sebagai artis dengan peminatnya. Ketika itu pun, saya tak pernah dedahkan status diri sebagai janda.

"Namun, lama-kelamaan hati saya tertaut dengan karakter suami dan selesa bersembang dengannya. Alhamdulillah, ternyata dia adalah jodoh saya," katanya.

Menurutnya, mereka memiliki karakter yang sama iaitu tegas dan kelakar.

Halim pula mengakui tidak menyangka bertemu jodoh dengan artis yang diminatinya secara diam-diam sejak dahulu.

Dia yang juga anggota polis di Labuan memberanikan dirinya menghantar mesej selepas bertemu Sheera di balai polis tempatnya bertugas.

"Sejujurnya, saya terpikat dengan kelembutan tutur bahasa Sheera menerusi drama Halimah Jongang dan dari situ saya tersentuh hati dengan lakonan dia.

"Apabila berkesempatan bertemunya, saya beritahu ada DM di Instagramnya. Syukur kami kini selamat bergelar suami isteri," katanya.

Resepsi untuk mentua

Sheera bersyukur suaminya tidak menghalang hasratnya untuk terus terbabit dalam bidang lakonan.

"Alhamdulillah, dia (Halim) memahami. Lagipun dia kenal saya menerusi lakonan. Saya pun tak pernah terbabit dengan sebarang kontroversi sepanjang bergelar artis.

"Dalam pada itu, perasaan kesyukuran saya bertambah lagi apabila suami sudah ditukarkan ke Balai Polis Kajang selepas 11 tahun berkhidmat di Labuan.

"Dapat kami meraikan Aidilfitri biarpun secara berdua dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang," katanya.

Mengenai perancangan cahaya mata, pasangan ini menginginkan tiga anak sebagai penyeri rumah tangga.

"Apapun, untuk majlis resepsi kami mungkin akan mengadakan satu lagi majlis di sebelah suami. Tapi, bergantung pada keadaan semasa negara yang kini masih berhadapan Covid-19.

"Majlis akad nikah pun, saya terpaksa mengehadkan tetamu kerana kami betul-betul jaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Akibat PKP juga, keluarga Halim di Melaka tak boleh rentas negeri. Saya kasihankan ibu dan bapa mentua yang tak dapat bersama kami," katanya turut mengadakan sesi video 'live' bersama ahli keluarga yang tidak dapat hadir.

Sementara itu, penerbit drama Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam yang turut hadir mendoakan supaya rumah tangga pasangan ini berkekalan selamanya.

"Saya tak sangka drama saya menemukan jodoh mereka. Saya doakan yang terbaik buat mereka dan mudah-mudahan, kali ini kekal hingga jannah

"Bagi saya Sheera seorang artis yang bagus, amat berdisiplin dan peribadinya baik. Alhamdulillah, dia dah dapat suami seorang anggota polis," katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 6:20am
d