rap

Gal Gadot dikecam netizen, tutup ruangan komen

Oleh Agensi

New York : Gara-gara memuat naik kenyataan di media sosial mengenai konflik terbaru Israel dan Palestin, bintang Hollywood yang juga warga Israel, Gal Gadot dikecam hebat netizen.

Gadot yang sinonim dengan watak adiwira Wonder Woman itu menerusi Instagram dan Twitter meluahkan kesedihan ekoran Israel kini berada di ambang peperangan ketika Rejim Zionis dan pejuang Hamas tidak henti-henti berbalas serangan.

Gadot menerusi satu hantaran di platform media sosial itu berkata, dia kecewa kerana negaranya kini di dalam peperangan. 

"Saya bimbangkan keluarga dan kawan-kawan saya. Saya risaukan rakyat negara saya. Isu ini sudah berlarutan terlalu lama. Israel berhak hidup sebagai negara yang bebas dan aman. Jiran kami (Palestin) juga berhak mendapatkan hak yang sama. Saya berdoa supaya permusuhan yang tidak dapat dibayangkan ini berakhir dan pemimpin kita dapat mencari jalan keluar supaya kita semua dapat hidup berjiran dengan aman," tulisnya.

Ada segelintir pengguna Twitter turut menuduh Gadot menyokong 'pembersihan etnik' dan 'pembunuhan beramai-ramai' rejim Zionis berikutan dia pernah berkhidmat sebagai anggota tentera di Israel Defense Forces (IDF) selama dua tahun. 

Ada juga netizen mempertikaikannya kerana dia merujuk Palestin sebagai 'jiran' Israel. 

Bagaimanapun, Gadot belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu, manakala ruangan komen di kedua-dua platform media sosial itu turut ditutup. 

Di Instagram, hantaran yang turut disertakan dengan emoji hati yang terbelah mendapat hampir 900,000 tanda suka. 

Disiarkan pada: May 13, 2021 @ 4:17pm
d