rap

'Tak ada paksaan daripada Melodi pun!' - Adeed

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya sendiri menghubungi Izreen dan juga Intan untuk mendapatkan persetujuan mereka bagi dipertemukan dalam rakaman Melodi Raya kami. Tak ada paksaan langsung," kata Penerbit Melodi, Noradillah Abdullah atau Adeed.

Adeed dihubungi menjelaskan pihaknya sebagai media bertanggungjawab sudah melakukan urusan secara beretika yang betul dan sedikit pun tidak memaksa mana-mana pihak untuk bersetuju. Katanya, jika tak mahu atau belum bersedia boleh sahaja menolak terus.

"Ketika hubungi Intan, saya terlebih dahulu sudah jelaskan mengenai satu segmen yang kami nak buat dinamakan Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih. Segmen ini, kami (Melodi) nak pertemukan Intan dan Izreen untuk program Melodi Raya. Kalau setuju, kita nak jemput dia (Intan).

"Begitu juga, yang saya cakap pada Izreen ketika hubungi dia dan bertanya. Malah, dia (Izreen) kata boleh, tapi minta saya dapatkan persetujuan daripada  Intan. Jadi, mereka dipertemukan selepas kedua-duanya bersetuju tanpa sebarang paksaan pun," katanya kepada Harian Metro.

Ujar Adeed, Melodi juga bukanlah pihak yang cuba nak mempermainkan sesiapa. Katanya, persetujuan memang diminta terlebih dahulu dan dia tidak sesekali bertindak melulu atau bersikap memandai-mandai.

"Saya ingat jawapan yang diberikan Intan dan dia sangat profesional. Sejujurnya, saya kagum dengannya. Dia kata okay, boleh dan saya tanyakan dua kali padanya untuk 'confirm'. Saya ulang cakap, segmen ini nak pertemukannya dengan Izreen dan dia kata, boleh.

"Di pihak kami (Melodi), memang takkan paksa. Malah, itu adalah cara kerja saya. Pada saya, kalau orang nak datang, datang. Kalau belum bersedia, mereka boleh cakap terus dan kami pun bukan jenis memaksa," ujarnya.

Jelas Adeed lagi, pihak Melodi sebenarnya ada meminta persetujuan daripada beberapa artis lain yang didapati terkait masalah dan ingin dipertemukan untuk segmen berkenaan. Tapi, apabila mereka menolak atau salah satu pihak belum bersedia, kami akur dan menerima sahaja keputusan itu.

Terdahulu, di media sosial heboh diperkatakan oleh warganet mengenai sesi pertemuan Izreen dan Intan dalam program Melodi Raya kerana kedua-duanya saling bermaaf-maafan.

Malah, Adeed turut menepis dakwaan seorang warganet yang mempersoalkan tindakan pihak Melodi dengan menyifatkan cuba membuli Intan apabila mempertemukannya dengan Izreen pada program itu.

"Kami ada etika. Bukan buli seperti apa yang awak cakap tu. Pertemuan atas persetujuan Intan dan Izreen  juga. Sebelum jemput pun, kami sudah fikir," katanya.

Menurut Adeed, kebanyakan warganet lebih memilih membuat andaian terlalu awal sebelum menonton program itu. Katanya, Intan sendiri ketika ditanya oleh pengacara Melodi, apa yang membuatkannya terbuka hati untuk bertemu menjawab, dia bersikap profesional.

Sehubungan itu, program Melodi Raya yang mempertemukan Intan dan Izreen itu disiarkan di TV3, hari ini. Ia dihoskan gandingan pengacara Awal Ashari dan Janna Nick.

Intan adalah bekas isteri kepada pemuzik bebas, Ude Wahid atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid yang kini suami, Izreen.

Intan dan Ude bernikah pada 1 Mac 2013, sebelum bercerai talak satu pada 22 Mac 2018. Pasangan ini bercerai selepas Ude mengahwini Izreen pada 8 Ogos 2017 pada sebuah majlis tertutup.

Hasil perkongsian hidup Intan dan Ude, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri, 4.

Dalam pada itu, Izreen kini hamil lima bulan untuk kali ketiga dan anak keduanya bersama Ude. Sebelum ini, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Aaron Ibrahim, berusia dua tahun, selain Izreen juga mempunyai seorang lagi anak lelaki, Adrian Umar daripada perkahwinan lalunya.

Disiarkan pada: May 16, 2021 @ 8:11pm
d