rap

Apa masalah Ahmad Idham?

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengarah terkenal, U-Wei Saari, 67, mempersoalkan tindakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri apabila tidak meluluskan projek filem kenegaraan yang dibentangkannya pada 16 Mac lalu.

Menurut U-Wei dalam kenyataan dikeluarkannya, dia tidak faham kenapa Ahmad Idham campur tangan dalam keputusan terbabit sedangkan sesi pembentangan filem berjudul Wangi Jadi Saksi itu dinilai seorang wakil Finas dan dua ahli akademik.

"Tidak ada satu soalan ditanya dan selepas pembentangan saya bertanya lagi, jika ada soalan atau keraguan dan mereka hanya menunjukkan ibu jari tanda semuanya baik. Saya tekankan di sini, mereka dipilih Finas ini adalah orang-orang pakar dipercayai dan mereka ilmuan yang saya dihormati. 

"Kala saya menerima berita penolakan, saya sebenarnya di antara tidak terkejut dan terkejut juga. Saya tidak faham akan campur tangan anda sebagai Ketua Pengarah dalam menentukan keputusan selepas kebijaksanaan yang diamanahkan kepada pegawai anda dan kedua pakar itu. 

"Saya juga tidak nampak bijaknya sumbangan anda di peringkat akhir dalam keputusan, selain menunjuk kuasa anda. Setahu saya, selama saya membikin filem, saya tidak sedar atau tahu akan kecemerlangan anda dalam menghasilkan sesebuah karya filem bermutu tinggi atau dalam kata lain sebuah filem yang boleh diterima di peringkat antarabangsa," katanya.

Pengarah filem Hanyut itu juga berharap keputusan tidak meluluskan projek terbabit bukan dipengaruhi sikap prejudis Ahmad Idham. Ia gara-gara beliau pernah menolak cadangannya untuk memimpin sebuah persatuan baharu dan menolak ziarah Finas.

"Sekali lagi, saya tidak bersetuju dengan rancangan Finas di bawah pentadbiran saudara. Oleh itu, saya harap perasaan prejudis saudara (jika ada) tidaklah digunakan untuk mempengaruhi  keputusan terhadap permohonan saya.

"Jadi jika saudara turut serta dalam pemilihan dan penentuan projek mana patut diluluskan atau tidak dengan menggunakan kuasa veto untuk permohonan saya, sekali gus saudara sudah menghina kebijaksanaan panel dilantik Finas sendiri," katanya.

U-Wei juga menyatakan rasa tidak percayanya apabila pencapaian diraihnya dalam bidang perfileman selama ini seakan dibelakangkan untuk membuat keputusan itu. Baginya, profil yang dibina sudah cukup kuat untuk projek itu dan layak diluluskan.

"Saya tidak selesa untuk menyenaraikan pencapaian saya atau apa saja kejayaan dalam  bidang ini. Tetapi, filem kenegaraan harus mendapat perhatian di luar negara dan ini boleh dicapai menerusi jemputan ke festival-festival filem antarabangsa yang relevan, sekali gus meletak filem kita ke dalam peta  filem dunia.

"Akan menjadi nilai tambah jika sesebuah produksi mendapat perhatian dari awal yang selalu membikin pihak festival penasaran apabila mendapat tahu seseorang pengarah memulakan sesebuah projek filem," katanya.

Ujar U-Wei, Ahmad Idham juga perlu memikirkan semasak-masaknya apa saja keputusan yang dilakukan berkenaan perfileman terutama perfileman tanah air.

"Filem kita adalah jiwa kita. Jiwa yang besar. Ini adalah demi maruah filem kita jika kita ingin berpencak di persada dunia. Kita harus berkelakuan antarabangsa, jika kita mahu dilihat antarabangsa," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2021 @ 9:06pm
d