rap

Scha, Awal selalu waspada

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON dan pengacara terkenal, Scha Alyahya mengakui dia dan suami yang juga pengacara, Awal Ashaari lebih berhati-hati terhadap hantaran yang ingin dimuat naik di media sosial bagi mengelak salah faham sesama peminat.

Scha, 38, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berkata, setiap orang mempunyai pemahaman yang berbeza terhadap sesuatu perkara dan adalah lebih baik untuk tidak mencetuskan sebarang provokasi.

"Saya ada mengingatkan mengenai perkara ini kepada suami. Saya cakap ia bukan apa yang kita lakukan semata-mata, tapi apa yang orang luar pandang atau tafsir. Bagi saya, penerimaan setiap individu itu berbeza. Jadi kami pilih untuk kurangkan apa-apa yang boleh timbulkan kontroversi atau minimalkan perkara yang tidak perlu.

"Lebih baik jangan buat langsung dan kita tidak perlu untuk menjawab. Kalau kami tidak buat apa-apa, maksudnya tidak akan ada jugalah sebarang reaksi daripada orang ramai," katanya.

Scha berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan segelintir selebriti yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini ketika negara sedang berusaha memutuskan rangkaian pandemik Covid-19.

Sementara itu, Awal pula menjelaskan perkara itu berlaku mungkin kerana segelintir daripada mereka sudah mempunyai dokumen sebagai syarat untuk merentas negeri dan sebagainya.

"Sebagai selebriti, bagi saya mereka pun sudah boleh bezakan yang baik dan buruk. Sekiranya ada yang berbuat demikian, saya berasakan mesti mereka sudah ada dokumen yang diperlukan. Kalau saya secara logiknya, apabila sudah buat salah takkan nak bagi tahu orang? Jadi andai ada yang muat naik di media sosial dan sebagainya, sudah pasti mereka mungkin ada keizinan.

"Tapi saya percaya, kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Orang luar mungkin tidak tahu di sebaliknya, mereka yang berbuat demikian ini mungkin atas dasar bekerja yang berkaitan," katanya.

Memahami situasi semasa yang berlaku, Scha pada masa sama positif dan berdoa agar fasa pandemik ini akan berakhir secara perlahan-lahan.

"Semua orang sensitif ketika ini. Di pihak saya dan suami, sebagai selebriti yang menjadi perhatian kita kurangkanlah apa yang patut," katanya ringkas.

Dalam perkembangan lain, Scha dan Awal baharu sahaja melancarkan produk makanan mereka iaitu Schambal di bawah jenama Amina Food.

Menurut Scha, dia dan Awal sudah menyimpan niat lama untuk menghasilkan produk makanan kegemaran mereka.

"Sudah lama saya dan Awal menyimpan niat untuk menghasilkan produk makanan kegemaran kami, bersama peminat yang tersayang. Alhamdulillah, kini baharu terlaksana.

"Kami abadikan juga nama anak bongsu kami, Amina sebagai jenama produk ini. Diharap mampu membuka peluang rezeki buat ramai orang di luar sana. Pencarian stokis akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Schambal pasti menambat selera, rangup, pedas dan mudah dinikmati bersama hampir semua makanan kegemaran anda," katanya.

Selain itu, pasangan ini juga giat berniaga aneka kuih tradisional bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Apabila kami mula menjual makanan seperti kerepek, muruku, rempeyek dan sebagainya, ia bermaksud kami membantu usahawan kecil di luar bandar. Kami beli dari mereka dan kami menjenamakan semula, seterusnya kami jual.

"Alhamdulillah, apabila kami jual di bazar Aidilfitri tempoh hari, ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Saya pergi bawa lima hingga enam kotak untuk satu jenis kuih, dan saya balik bawa plastik saja.

"Jadi kami menggunakan platform itu untuk membantu IKS. Dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kami tukar cara pemasaran kami di mana kami jual secara dalam talian," katanya.

Disiarkan pada: May 17, 2021 @ 6:20am
d