rap

'Ramai yang tanya pasal kahwin'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya tak serik pun nak berkahwin lagi, tapi buat masa ini belum terbuka hati. Saya pun gembira dan bahagia dengan kehidupan sekarang".

Demikian kata penyanyi popular era 1980-an, Ramlah Ram, 56, ketika ditanya berkenaan hasratnya untuk berkahwin baharu.

Sudah 11 tahun hidup bersendiri, Ramlah yang popular dengan lagu Selamat Jalan Romeo dan Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu pernah mendirikan rumah tangga dengan penerbit di RTM, Kamal Roslim pada 2000 sebelum bercerai pada 2010.

"Entahlah nak cakap macam mana. Ada saja kawan yang tanya saya soal kahwin ini. Mereka tanya tak teringin ke nak kahwin lagi? Saya pun sebenarnya tak fikir, tapi kalau ada jodoh saya terima. Jika tak ada pun tak apa.

"Apapun, saya tak dinafikan ada juga rakan seusia saya berkahwin lagi kerana mahu berteman dan itu pilihan mereka serta ada jodohnya. Tapi, untuk saya alhamdulillah gembira dengan apa yang Allah berikan setakat ini.

"Setiap orang ada cara gembira dan bahagia masing-masing. Saya sangat bersyukur dengan perjalanan kehidupan sekarang. Alhamdulillah, saya tak rasa sunyi," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ramlah, setakat ini dia tidak berkenalan atau berkawan rapat dengan mana-mana lelaki. Jika ada pun hanya perkenalan biasa atas dasar kerja dan tak pernah bercakap lama-lama dalam telefon.

Ditanya mengenai sikap positifnya berbicara mengenai jodoh dan perkahwinan, Ramlah berkata, tidak ada apa yang perlu membuatkan dia tidak selesa untuk menjawabnya.

"Kalau media tak tanya, ada juga rakan saya yang lain bertanya. Ia soalan biasa dan saya okay sahaja untuk menjawabnya. Lagipun, jawapannya saya belum nak kahwin dan biar Allah tentukan.

"Bagi saya, perancangan Allah itu sangat terbaik dan saya ikut saja apa yang sudah diaturkan takdir hidup ini. Sesungguh-Nya Allah sangat mengetahui hamba-Nya dan teruskan bersujud serta berdoa kepada-Nya," katanya.

Ramlah yang sudah 36 tahun bergelar penyanyi dan masih aktif hingga kini berkata, dia gembira dapat bertahan hingga sekarang.

Ramadan lalu, Ramlah muncul dengan lagu raya terbaru berjudul Kemenangan. Lagu ciptaan Mohar dan lirik ditulis bersama oleh Ramlah itu bergenre irama tradisional Melayu.

Kali terakhir Ramlah merakamkan lagu raya pada 2012 berjudul Bila Aidilfitri Kembali. Untuk lagu itu, dia tampil berduet dengan Jay Jay.

Disiarkan pada: May 19, 2021 @ 2:21pm
d