rap

Ain Edruce dapat 'baby girl'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Ain Edruce, 30, selamat melahirkan anak sulung di sebuah pusat perubatan, di sini, jam 1.30 pagi semalam.

Bayi perempuan seberat 2.79 kilogram itu dilahirkan secara normal selepas berbelas-belas jam bertarung dengan kesakitan kontraksi sebelum bersalin.

Ain ketika dihubungi berkata, dia bersyukur proses kelahiran dapat dilalui dengan baik walaupun mengalami kontraksi agak lama dan ia diakui dugaan yang agak mencabar.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada suami, Amirul yang banyak memberi sokongan serta doktor dan jururawat yang membantu saya sepanjang proses kelahiran.

"Namun, pengalaman kontraksi selama berbelas jam sebelum bersalin itu sangat bermakna kerana berbezalah juga daripada yang pernah dialami oleh kakak-kakak saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ain, bagi meredakan kesakitan itu, dia membuat keputusan mengambil epidural dan segala proses kelahiran bayinya lancar serta dipermudahkan.

Ditanya juga mengenai nama dan perkongsian foto bayinya, Ain berkata, ia bergantung kepada kebenaran suaminya.

Katanya, dia akan kongsikan selepas mendapat izin Amirul.

Ain yang pernah mengacarakan program Immortal Songs di TV3 mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Amirul Hafiz Mustaffa pada 13 Disember 2019 selepas enam bulan bertunang.

Disiarkan pada: May 20, 2021 @ 5:19pm
d