rap

Neelofa, PU Riz bantu Donate 4 Palestine

Kuala Lumpur: Beberapa selebriti tempatan berjaya mengutip sumbangan mencecah RM2 juta menerusi kempen Donate 4 Palestine yang dijalankan sejak 9 Mei lalu.

Mereka termasuklah Neelofa, suaminya, PU Riz, Wany Hasrita, Amira Othman, PU Amin dan beberapa pendakwah bebas lain lagi.

Inisiatif yang dijalankan itu turut bekerjasama dengan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muslim Care, Pertubuhan Kasih Neelofa dan JomDonate.

PU Riz berkata, apa yang dibuat bukan semata-mata untuk memberikan bantuan, sebaliknya ia sebagai bukti kasih sayang dan keprihatinan sesama saudara Islam.

"Mari kita bersama-sama bantu mereka dengan menghantar sumbangan dan menginfaqkan harta kita ke jalan Allah SWT sebagai tanda sokongan kita kepada mereka. Doa juga adalah senjata bagi umat Islam, maka kita jangan berhenti berdoa untuk saudara kita di sana supaya mereka terus kuat dan sentiasa dilindungi Allah.

"Setiap wang ringgit yang disumbangkan ini mungkin kecil pada kita, tetapi ia amat besar pada mereka yang memerlukan. Mungkin juga ia boleh menjadi asbab untuk kita mudah masuk ke syurga, Insya-Allah," katanya.

Kesemua hasil kutipan disalurkan terus kepada rakyat Palestin yang akan digunakan untuk kos perubatan, kemanusiaan, kecemasan dan keperluan mendesak yang lain.

"Semoga dengan bantuan anda dapat memberi sinar harapan buat saudara Islam kita di sana. Semoga setiap nilai yang dikeluarkan untuk meringankan beban mereka, Allah SWT memudahkan urusan seharian kita semua," katanya.

Terdahulu, rejim Zionis Israel membuat serangan terhadap Palestin selama 11 hari sebelum gencatan senjata diumumkan, semalam.

Bagaimanapun, 12 jam selepas itu rejim itu kembali membuat serangan di Masjid Al Aqsa dengan menyerang orang awam yang berada di situ.

Untuk sumbangan, boleh klik pada pautan DONATE https://jomdonate.com/campaigns/190.

Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 3:34pm
d