rap

'Shooting' dalam studio sahaja!

Oleh Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini bagi aktiviti penggambaran dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. 

Dalam kenyataan dikeluarkan, Finas memaklumkan mengenai lokasi studio yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi sebagai lokasi aktiviti rakaman.

"Untuk makluman aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan PBT serta SSM sahaja bermula 25 Mei dari jam 8 pagi hingga 8 malam. 

"Contoh studio rasmi adalah studio-studio Finas, Studio Iskandar Malaysia, Studio Jelas Juta dan sebagainya. 

"Aktiviti penggambaran yang dijalankan juga adalah dengan jumlah kru yang minima tanpa penonton serta perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) dan tertakluk kepada pematuhan SOP Industri Kreatif yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya. 

Pihak perbadanan itu juga akan memberikan maklumat terperinci mengenai SOP Industri Kreatif pada Isnin ini. 

"Finas akan memaklumkan perincian SOP Industri Kreatif yang baharu pada 24 Mei dan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui medium hebahan media dan laman sesawang Finas," katanya. 

Sebelum ini, Finas membenarkan aktiviti penggambaran secara 'indoor' termasuk di set penggambaran rumah dan kawasan pejabat, namun kini hanya studio berdaftar sahaja yang dibenarkan. 

Petang tadi, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan SOP terkini yang diperketatkan dalam PKP 3.0. 

Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 10:40pm
d