rap

Khai ajak bantu Palestin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular, Khai Bahar mengakui terkesan dan sedih mengenang nasib yang menimpa penduduk di Palestin.

Khai berkata, setiap hari hatinya luluh membaca dan menonton video kekejaman rejim Zionis Israel terhadap mereka terutama membabitkan kanak-kanak dan wanita.

"Saya sama seperti kebanyakan artis lain yang tetap berdiri menyokong Palestin. Apa dibuat rejim Zionis semakin melampau. Walaupun tidak berada di sana, sekurang-kurangnya sokongan di media sosial dapat menyampaikan suara kita kepada dunia atas apa yang menimpa penduduk Islam di sana.

"Penderitaan dan kesengsaraan mereka sedikit sebanyak menginsafkan diri betapa kita perlu mensyukuri nikmat yang ada ketika ini. Kalau ada pun yang mengatakan hidupnya susah, kena ingat ada lagi susah daripada kita.

"Disebabkan itu, saya sentiasa cakap kepada diri sendiri kena beringat tidak kira dalam apa juga keadaan. Jika ada sedikit rezeki diperoleh, berkongsilah seadanya walaupun ia kecil. Bagi saya, tidak ada apa yang merugikan pun. Insya-Allah, pasti digantikan dengan nikmat lain pula," katanya.

Menurut Khai yang juga Ikon Syria Care, dia bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut giat menjalankan kempen bagi membantu penduduk Palestin.

"Kalau sebelum ini memang kempen dibuat lebih kepada untuk membantu pelarian Islam di Syria, kali ini kami turut mempergiatkan usaha membantu penduduk Palestin pula. Biarpun hanya menerusi medium media sosial, saya percaya dengan usaha sebegini ia lebih meluas.

"Saya juga yakin ada ramai rakyat Malaysia yang cukup prihatin. Buktinya, menerusi komen dan perkongsian mereka. Tidak perlu tanya atau persoalkan apa mereka buat, tapi lihat pada usaha dibuat.

"Dari awal terbabit dengan Syria Care lagi saya sentiasa cuba didik dan beri kesedaran kepada peminat termasuk orang di sekeliling supaya dapat membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Mengenai kerjaya seninya, Khai yang muncul dalam drama Kisah Cinta Rumi di TV3 mengakui teruja dengan sokongan dan maklum balas diberikan penonton.

Malah, sudah ramai yang memuji lakonannya yang dilihat banyak peningkatan berbanding drama lakonan sebelum ini.

"Macam pernah dikatakan sebelum ini, saya sentiasa mahu perbaiki diri. Malah mahu buat dengan lebih baik. Jadi, apabila menerima tawaran berlakon dalam Kisah Cinta Rumi saya tidak boleh main-main.

"Tanggungjawab melakonkan watak utama adalah amanah buat saya. Disebabkan itu, saya tidak mahu persiakan setiap peluang diberikan. Saya tidak pernah berasakan diri sudah bagus, sebaliknya setiap hari adalah proses pembelajaran untuk saya.

"Saya berterima kasih kepada pengarah, kru dan semua pelakon terbabit kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar. Insya-Allah, jika ada tawaran berlakon lain saya akan pertimbangkan. Apa-apa pun kena tengok kesesuaian masa dan jadual kerja," katanya.

Tahun ini juga dianggap tahun sibuk dirinya biarpun aktiviti nyanyian 'lumpuh' ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Alhamdulillah, terima kasih Allah atas rezeki yang diberikan. Walaupun tawaran nyanyian tidak seperti dulu, rezeki lain tidak pernah putus. Ini semua berkat doa ibu bapa dan sokongan tidak henti peminat.

"Tahun ini saja, saya sudah lancarkan beberapa single termasuk album Damba Ketenangan yang memuatkan lima zikir dan satu lagu bonus berjudul Perpisahan pada Ramadan lalu. Sambutan diterima sangat baik.

"Malah, lagu Hilang Gelita yang menjadi lagu tema drama Kisah Cinta Rumi juga semakin mendapat tempat. Selain itu, lagu Nafas Cinta duet dengan Aina Abdul turut dipilih menjadi lagu tema drama Kekasih Hati Mr Bodyguard juga ditayangkan di TV3.

"Begitu juga dengan produk saya iaitu K Slimz, alhamdulillah turut mendapat sambutan. Belum lagi dengan aktiviti bersama Toyota. Pendek kata, semua ini rezeki," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2021 @ 6:30am
d